Taman tema termasuk taman tema air dibenarkan beroperasi semula 1 Julai 2020-Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Taman tema termasuk taman tema air dibenarkan beroperasi semula pada 1 Julai ini dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, had pengunjung adalah berdasarkan kapasiti ruang serta saiz taman tema berkenaan.

“Kebenaran ini melibatkan 54 taman tema di seluruh negara dan melibatkan lebih 10,000 tenaga kerja.

“Pengusaha semua taman tema perlu mematuhi SOP yang ditetapkan termasuk memastikan penjarakan sosial dipatuhi pada setiap masa,” katanya semasa sidang media hari ini.

Tambah beliau, pengusaha taman tema khususnya taman tema air perlu mengikut Garis Panduan Pengurusan dan Penyelenggaraan Kolam Renang Awam oleh Pihak Berkuasa Tempatan serta Garis Panduan Pemantauan Kualiti Kolam Air.

Garis Panduan serta SOP boleh diperolehi dari laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Dalam perkembangan berbeza, Ismail Sabri memaklumkan, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri berhubung PKP hari ini memutuskan untuk memberi pengecualian bayaran saringan Covid-19 di pintu masuk negara kepada orang kelainan upaya (OKU) yang memiliki kad OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat, kakitangan awam yang keluar negara kerana bertugas serta pelajar Malaysia yang pertama kali pulang ke negara ini.

Berkuatkuasa hari ini, kerajaan meminta semua orang sama ada rakyat Malaysia atau warganegara asing untuk menanggung kos saringan Covid-19 yang perlu dibuat sebaik tiba di pintu masuk negara.

“Oleh kerana keputusan mesyuarat berhubung pengecualian hanya dibuat sebentar tadi dan sudah pasti ada yang telah membuat pembayaran masing-masing jadi mereka boleh membuat tuntutan semula kepada Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya lagi.

Mengikut laman web Warta Kerajaan Persekutuan, mana-mana rakyat Malaysia atau rakyat asing yang memasuki negara ini diwajibkan membayar kos saringan Covid-19 sebelum dibenarkan untuk mendapat kelulusan imigresen.

Jenis ujian ditentukan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.

Bagi rakyat Malaysia, mereka perlu membayar RM30 untuk kit ujian pantas antibodi, RM60 bagi kit ujian pantas antigen dan RM150 untuk kit ujian PCR.

Manakala rakyat asing perlu membayar di antara RM60 hingga RM250 untuk ujian-ujian tersebut. – MalaysiaGazette