Pasukan F1 Mercedes memperkenalkan jentera serba hitam untuk musim 2020 sebagai mesej lawan rasism

LONDON – Jentera Mercedes bakal melakukan penampilan eksklusif dalam warna serba hitam pada perlumbaan Formula 1 musim 2020 Julai ini.

Penampilan itu sebagai isyarat diversiti dalam sukan permotoran.

Mercedes menggunakan warna Silver sebagai tema ikonik jentera pasukannya sejak 1930-an.

Pasukan itu berkata, perubahan warna jentera kepada hitam bagi melawan isu perkauman.

Juara Dunia Lewis Hamilton menyifatkan jentera berwarna hitam sebagai mesej penting pasukannya yang sedia berubah dan memperbaiki segala aspek.

Pasukan F1 Mercedes berkata, hanya 3.0% daripada tenaga kerjanya dalam kalangan berkulit hitam dan hanya 12 peratus mewakili golongan wanita.

“Kekurangan kepelbagaian ini menunjukkan kita perlu mencari pendekatan terkini untuk menarik bakat baharu daripada pelbagai lapangan dalam kalangan masyarakat yang gagal dicapai sebelum ini,” kata jurucakap pasukan itu.

Pasukan Mercedes juga merancang untuk melancarkan program kepelbagaian yang akan merangkumi kempen kesedaran, analisis dan program merekrut tenaga kerja dalam pelbagai lapisan masyarakat tanpa diskriminasi dengan kerjasama pemegang taruh F1, khususnya dalam program pendidikan.

Hamilton baru-baru ini mengumumkan penubuhan suruhanjaya dengan kerjasama Akademi Kejuruteraan Diraja bagi mempromosikan penyertaan masyarakat kulit hitam dalam sukan permotoran.-MalaysiaGazette