Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) merampas barangan di dalam premis kedai ketika meyerbu premis perniagaan yang dipercayai dikendalikan oleh warga asing di kawasan Hulu Langat, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 01 JULAI 2020.

KAJANG- Sebanyak 98 premis telah disita melibatkan pengeluaran 200 kompaun, menerusi operasi serbuan yang dilakukan oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dalam tempoh lebih kurang tiga bulan, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Menurut Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPKj, Shariman Mohd Nor, fokus operasi pihaknya bertitik tolak daripada hasil tinjauan yang  mendapati sebanyak 80 peratus kedai-kedai runcit di kawasan Kajang dikendalikan oleh warga asing.

“Ada premis yang di atas tanah individu tapi tidak berlesen ada di atas tanah rizab jalan ini memerlukan kerjasama beberapa agensi.

“Warga asing yang bekerja kena ada kebenaran bekerja sektor apa. Kebanyakan warga asing yang mengendalikan kedai runcit atau bekerja di kedai rumcit di sini sepatutnya bekerja di sektor pertanian tetapi berada di sektor peruncitan,” katanya kepada pemberita selepas operasi serbuan di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPKj Shariman Mohd Nor bercakap dengan media selepas membuat serbuan di premis perniagaan yang dipercayai dikendalikan oleh warga asing di kawasan Hulu Langat, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 01 JULAI 2020.

Dalam serbuan hari ini, MPKj menyita sebanyak enam premis perniagaan runcit di Hulu Langat.

Setiap satu kompaun untuk satu kesalahan adalah bernilai RM1,000.

Meskipun selepas membayar kompaun bagi pemilik peniaga warga tempatan yang mahu membuat permohonan lesen, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ujarnya mempertimbangkan kelayakan berdasarkan beberapa syarat dan kriteria yang perlu dipenuhi umpanya, pemilikan tanah premis perniagaan yang ingin dibuka.

Tambah beliau, PBT tidak akan memberi kebenaran perniagaan dilakukan di atas tanah rizab kerajaan.

Justeri beliau memberi amaran kepada warga asing tidak sewenangnya mengaut keuntungan dengan melanggar undang-undang dengan menjalankan perniagaan.

Warga tempatan juga diseru mematuhi undang-undang sebelum memulakan perniagaan meskipun hanya kedai runcit.

“MPKj kami memandang serius aktiviti melibatkan premis-premis perniagaan yang dikendalikan warga asing jadi kami minta hentikan perniagaan sebelum kami datang,” tambah beliau.

Dalam pada itu beliau memaklumkan MPKj mensasarkan untuk memeriksa 150 premis perniagaan di daerah berkenaan yang disyaki beroperasi tanpa lesen dan mempunyai penglibatan warga asing.-MalaysiaGazette