KUALA LUMPUR – Persatuan Usahawan dan Industri ICT Bumiputera Malaysia (NEF) melahirkan rasa tidak puas hati apabila syarikat-syarikat asing mendapat perolehan dan projek-projek besar yang dilancarkan oleh kerajaan berbanding syarikat tempatan.

Contoh pertama, projek MySejahtera untuk pengesanan kontak Covid-19 dibangunkan dengan KPISoft Inc dari Amerika Syarikat, contoh kedua pembangunan laman web DELIMa (Digital Education Learning Initiative Malaysia) oleh Kementerian Pendidikan, yang mana solusi dan kandungan digital tempatan langsung tidak diketengahkan.

Yang ketiga, projek di bawah Penjana adalah MyFutureJobs oleh Perkeso yang menggunakan kepakaran teknologi dari Netherland, juga projek di bawah Penjana yang mengenepikan pembangun teknologi e-commerce tempatan manakala contoh kelima, program Geran Pendigitalan SME.

Presidennya, Khairil Iszuddin Ismail berkata, adalah tidak wajar syarikat luar negara dengan modal besar mendapat manfaat daripada wang kerajaan dan wang cukai rakyat untuk kemajuan mereka.

Sedangkan syarikat tempatan yang perlu bertarung nyawa untuk hidup kerana modal terhad terpaksa bersaing dengan mereka ini.

Ini tidak termasuk, ada beberapa pihak begitu bersemangat membawa pesaing luar negara untuk bertapak dalam Malaysia, sekali gus membunuh syarikat teknologi tempatan.

”Lebih sedih lagi apabila ia disokong oleh pihak kerajaan sendiri ataupun bersandarkan sokongan politik,” katanya di sini.

Menurut Khairil, sepatutnya menjadi dasar kerajaan membantu mempertahankan syarikat tempatan dan membangunkan ekonomi dalam negara.

”Kami berpendapat bahawa terdapat banyak syarikat-syarikat tempatan yang berkebolehan dan mempunyai solusi inovasi tinggi yang mampu untuk membuat projek-projek skala besar kerajaan.

”Lagipun, dasar memberi keutamaan kepada syarikat tempatan bukan sekadar dapat memastikan projek tersebut dihasilkan dengan kualiti tinggi tetapi dapat memajukan
ekonomi negara, sekali gus memberi peluang pekerjaan pendapatan tinggi dalam kalangan rakyat,” ujarnya yang kecewa apabila syarikat tekonologi maklumat dan komunikasi (ICT) tempatan dilayan seperti anak tiri di rumah sendiri.

Oleh itu, NEF mencadang dan mendesak supaya kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat untuk membuat proses ketelitian wajar yang lebih menyeluruh dalam proses perolehan supaya pemilik syarikat induk yang dimiliki sepenuhnya oleh rakyat Malaysia diberi keutamaan.

Malah, kerajaan diminta membuat proses libat urus bersama syarikat-syarikat tempatan terlebih dahulu, dari fasa awal dalam pembinaan dan penghasilan produk dan solusi untuk orang
awam, dan bukan sekadar “after thought” ataupun hanya sekadar didengari kemudian.

Kerajaan juga diminta menggubal satu dasar rasmi untuk memberikan keutamaan kepada syarikat tempatan dalam perolehan dan pembangunan projek berasaskan ICT dan menggubal satu dasar rasmi untuk penggunaan perisian sumber terbuka dalam kerajaan kerana ini membantu dalam pembangunan bakat-bakat ICT dalam negara.

NEF, katanya, juga berupaya membantu kerajaan dan keperluan awam untuk projek-projek komuniti kerana pernah membangunkan CoronaTracker dan MyBanjir secara crowdsourcing dan sukarela oleh pembangun tempatan tanpa sebarang imbuhan.

”DATA8 Sdn Bhd dengan pantas dan sukarela membantu membangunkan sistem rekod saringan Covid-19 untuk kegunaan di Hospital Sungai Buloh manakala Datang.my dibangunkan penuntut UNITEN untuk merekodkan kehadiran dalam era Covid-19,” tambah beliau.- MalaysiaGazette