PUTRAJAYA – Australia merupakan negara terbaharu dalam perbincangan untuk pembukaan sempadan negara bagi membolehkan kemasukan pakar profesional.
Bagaimanapun Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham berkata, perbincangan masih berada di peringkat awal dan tiada ketetapan mengenai pelaksanaan.
“Perbincagan telah dimulakan dengan Singapura dan negara Brunei manakala perbincangan permulaan dengan Australia sudah dimulakan dan akan dilanjutkan,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini.
Menurut Noor Hisham, kerajaan masih berpegang teguh kepada pengawasan situasi dan trend Covid-19 negara-negara zon hijau.
Tambah beliau, langkah itu bagi membolehkan satu Prosedur Operasi Standard (SOP) boleh diguna pakai secara bersama antara negara zon hijau.
“Terkini perbincangan untuk Singapura telahpun lebih daripada permulaan.
“Mungkin kita akan mengenalpasti kumpulan-kumpulan yang akan dibenarkan masuk dan keluar di sempadan Johor-Singapura dan kita akan mengumumkan keputusannya dalam sedikit masa lagi,” katanya. – MalaysiaGazette