Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) bersama calon Barisan Nasional, Mohd Sharim Md Zain (dua kiri) beramah mesra bersama jemaah, Ibrahim Deraman, 64 (dua kanan) dan Muhammad Hafizuddin Ibrahim, 28 (kiri) selepas menunaikan solat jumaat sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23 Chini di Masjid Felda Timur 1, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 03 JULAI 2020.

CHINI – Kedatangan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke Chini sama seperti pemimpin lain daripada Perikatan Nasional.

Menurut Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak, kehadiran bekas Timbalan Presiden PKR itu hanya tidak lain daripada untuk membantu calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain bagi memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada Pilihan Raya Kecil (PRK), esok.

“Dia datang bantu calon BN. Macam Datuk Hamzah Zainuddin yang datang berkempen untuk kita.

“Mereka datang bantu calon BN,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Felda Chini Timur 1, hari ini.

Hadir sama calon BN, Mohd Sharim Md Zain.

Sebelum Azmin, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal turut turun ke Chini untuk berkempen.

Najib dan Azmin pagi tadi bertembung di Kampung Kuala Mentiga, Chini dalam siri kempen hari terakhir PRK DUN Chini.

Kedua-dua mereka dilihat duduk semeja dan menikmati sarapan bersama-sama.

Azmin ketika itu berkata, kunjungan beliau terdapat Najib adalah ada dasar semangat Perikatan Nasional yang dibentuk bersama BN, Pas, dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Perikatan Nasional dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Ini kali pertama Azmin turun berkempen dan memberikan sokongan kepada calon BN.

Azmin sebelum ini berada dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan sebelum gabungan itu tumbang pada Februari lalu.

Ditanya mengenai kempen bagi jam-jam terakhir untuk PRK DUN Chini, Najib berkata, beliau berpuas hati dengan pergerakan calon dan berharap ia akan diterjemahkan dalam jumlah undi yang diterima Mohd Sharim, esok.

“Nampaknya semua jentera kita berjalan dengan lancar dan kita telah susun banyak program dan semalam kita buat program Muafakat Nasional di Chini.

“Malam ini ada program bersama anak muda dan semua PDM kita sudah bersiap sedia menghadapi esok,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap selepas menunaikan solat jumaat sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23 Chini di Masjid Felda Timur 1, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 03 JULAI 2020.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Keenam itu berkata, jentera perlu merapati golongan pengundi luar yang dianggar berjumlah 8,000 orang.

Kata Najib, langkah itu perlu bagi memastikan Mohd Sharim menang bergaya pada malam esok.

“Dengar khabar sebilangan besar dijangka akan kembali tapi kita tidak boleh anggap ini akan jadi kenyataan sebab mereka lihat setakat ini pertandingan tidak sengit sebab tidak ada parti lain yang bertanding cuma bebas.

“Kita cuma meyakinkan mereka bahawa penting bagi mereka untuk balik mengundi kerana kita nak jadikan Chini ini sebagai satu PRK yang beri isyarat yang jelas bahawa BN dan Muafakat Nasional serta Perikatan Nasional diterima buat oleh pengundi,” katanya lagi.

Esok sejumlah 20,990 pengundi bakal menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi dalam PRK DUN Chini.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49. – MalaysiaGazette