Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah. foto IQBAL BASRI, 30 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dianugerahkan Alumni Tersohor 2019 oleh Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) atas sumbangan besar beliau dalam bidang perubatan.

Dr Noor Hisham diberi anugerah itu sempena majlis Anugerah Sanjungan Kencana Fakulti Perubatan 2020, UKM hari ini.

“Anugerah ini adalah satu pengiktirafan kepada komitmen dan dedikasi kesemua tenaga pendidik di Fakulti Perubatan UKM dan satu manifestasi kecemerlangan petugas kesihatan di mana sahaja mereka berada. Mereka adalah insan-insan istimewa yang komited, produktif, inovatif dan sentiasa berusaha untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat melangkaui jangkaan,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Dr Noor Hisham mengucapkan jutaan terima kasih kepada UKM, khususnya Fakulti Perubatan universiti itu atas penganugerahan berkenaan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, kecemerlangan perkhidmatan kesihatan negara merupakan hasil kerjasama berpasukan setiap individu kerana setiap sumbangan walau sekecil mana pun, adalah rentetan ke arah hasil impak kesihatan yang tinggi, kos berpatutan dan memenuhi kepuasan pelanggan.

Dr Noor Hisham turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga kerja perkhidmatan kesihatan yang masih berkhidmat dan yang telah bersara.

“Mereka sentiasa melaksanakan tugas dan meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan dengan penuh dedikasi dan integriti,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast