Pokok Lidah Mentua atau Lidah Jin

Dracaena trifasciata atau Senseviera trifasciatayang lebih dikenali dengan nama tempatan iaitu pokok Lidah Mak Mentua atau Lidah Jin semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia dewasa ini. Tanaman yang berasal dari benua Africa ini sememangnya sejenis tanaman yang sangat mudah membiak, berketahanan tinggi dan sukar untuk dihapuskan. Ia dikatakan sebagai tanaman yang tahan dan kekal mandiri walaupun diabaikan. Boleh hidup di bawah terik matahari ataupun di dalam rumah atau bangunan, disiram kerap atau jarang-jarang di siram.   Justeru itu, tanaman ini adalah sangat sesuai bagi sesiapa yang tidak mempunyai banyak masa atau yang baru ingin menceburkan diri di dalam penanaman tanaman hiasan.

Menyerap gas berbahaya

 Pokok lidah mak mentua ini telah pun diuji oleh National Aeronautics and Space Administration (NASA) (1989), bersama beberapa spesies tanaman hiasan dalaman yang lain seperti Aglaonema modestum, Ficus benjamina, Gerbera jamesonii, Dracaena deremensis “‘Janet Craig”, Dracaena marginata dan Spathiphyllum “Mauna Loa” bagi melihat keboleh-upayaan mereka bagi membersihkan udara dari pelbagai bahan kimia meruap (noxious gasses) seperti benzene, formaldehyde, xylene, toluene dan trichloroethylene. Dalam kajian ini, NASA telah pun mendapati bahawa Sansevieria (pokok lidah mak mentua), Spathiphyllum “Mauna Loa”, Gerberea jamesonii dan Dracaena seperti (D. fragrans, D. deremensis, D. marginata) telah ditemukan efisyen menyerap dan membendung gas cemaran udara seperti yang tersebut diatas.

Tumbuhan ini berfotosintesis dan mengambil udara dari persekitaran sekaligus menyerap gas dari bahan kimia yang bersifat meruap (noxious gas) dan menukarkannya menjadi kompaun atau bentuk yang tidak berbahaya berserta oksigen. Kajian ini juga turut menunjukkan kadar penyerapan tanaman-tanaman ini akan lebih meningkat sekiranya digunakan bersama penapis karbon aktif bagi membolehkan udara dalam bangunan diserap dengan lebih efisyen dan berkesan.

Pada asasnya, kajian telah pun membuktikan tanaman ini sangat berpotensi dalam membantu membersihkan udara dan mengurangkan kadar pencemaran gas di dalam bangunan (contohnya: karbon monoksida kerana asap rokok dll.) dan meningkatkan kualiti udara dalaman dengan membuang sisa organik bahan pencemar dari udara di bangunan yang cekap tenaga.

 Adakah ia beracun?

Ada pendapat yang mengatakan tanaman ini mempunyai racun yang boleh membahayakan anak-anak kecil dan haiwan peliharaan. Secara botanikalnya tanaman ini, seperti juga tanaman-tanaman lain, turut mempunyai mekanisme perlindungan tersendiri (Contohnya, duri pada kaktus). Mekanisme perlindungan ini adalah berbentuk racun yang terdapat di batangnya yang mempunyai kandungan bahan aktif saponin. Saponin adalah bahan yang sering wujud di dalam kebanyakan tanaman hiasan. Saponin dalam sesetengah tumbuhan mungkin mendatangkan iritasi dan kerengsaan pada yang sensitive dan alergi padanya. Tetapi ada juga saponin dalam tanaman yang tidak mendatangkan mudarat. Tanaman kekacang (legume) seperti kacang soya, kacang pea, kacang tanah, sayur bayam, oat dan bawang putih juga adalah antara yang tertinggi mengandungi saponin.

Menurut kajian, dos yang menjadi toksik bagi saponin adalah jika ia lebih dari 1000 mg/kg. Ini bererti, kuantiti yang amat tinggi diperlukan untuk mendatangkan ketoksikan.  Kebiasannya keadaan ini hanya berlaku pada dos yang besar dan melalui suntikan terus ke dalam salur darah. Asas kepada prinsip toksikologi adalah ‘dos yang menjadikannya racun’. Jadi bagi merungkai isu termakan pokok ini, tidaklah menjadi sesuatu yang memudaratkan kepada haiwan peliharaan sekiranya termakan atau tergigit pokok ini. Asalkan janganlah dimakan seperti sayuran ulam-ulaman. Haiwan peliharaan selalunya tidak suka kepada tanaman yeng mengandungi saponin kerana rasanya pahit. Sekiranya ingin menanam pokok ini di dalam rumah, sebaik-baiknya diletakkan di tempat-tempat yang lebih tinggi dan tidak mudah dicapai oleh anak-anak kecil untuk memastikan keselamatan mereka.

Menyerap habuk?

Adakah pokok lidah mak mentua ini boleh menyerap habuk? Ia secara semulajadi mempunyai permukaan yang bersifat berlilin (wax) maka habuk mudah melekat ke atas permukaannya. Namun begitu, bukan tugasnya untuk menyerap habuk dan habuk masih perlu dilap dari permukaan daun pokok ini untuk dibersihkan. Pokok ini sangat mudah untuk bertahan dan bermandiri walaupun dalam media-media yang berbeza. Media tanah campuran adalah yang paling biasa digunakan untuk menanam pokok lidah mak mentua ini, tetapi sebagai alternatif, ia juga boleh ditanam dalam media yang mempunyai pengudaraan dan penyaliran yang baik seperti pasir, perlite atau vermiculite. Sungguhpun begitu banyak yang telah diketahui tentang tanaman ini, masih banyak perspektif yang belum dilihat dan dikaji berkaitan karakter, fungsi serta manfaat pokok lidah jin ini. Kajian lanjut sedang aktif dijalankan bagi mengetahui potensi sebenar tanaman ini.

Kesimpulannya, pokok lidah mak mentua atau lidah jin ini selamat untuk ditanam di dalam mahupun di luar rumah. Dengan nilai aestetikanya, pasti menyerikan setiap sudut rumah si penanamnya dan bernilai tambah dengan udara yang lebih bersih dan segar!

Oleh Dr. Sarah Baharudin, Pensyarah Tanaman Hiasan dan Hortikultur Landskap, Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Pertanian, UPM