Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak menaiki sebuah kereta sempat meluangkan masa bersama penyokong dan diiringi Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim (dua kanan) untuk meraih undi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23 Chini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Bandar Dara, Chini, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 03 JULAI 2020

CHINI – Beberapa jam sebelum kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini berakhir, beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) dilihat memeriahkan kempen jalanan.

Sepanjang jalan di Bandar Dara Chini, beberapa pemimpin BN antaranya Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim kelihatan giat meraih undi rakyat Chini.

Beliau yang ditemani jentera BN bertindak mengibarkan bendera BN dan melaungkan ucapan terima kasih kepada pengundi yang akan mengundi BN, esok.

Turut kelihatan bekas Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang turut mengadakan lawatan di sekitar bandar itu, sebentar tadi.

Selain itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan turut memeriahkan kempen saat-saat akhir itu.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menaiki sebuah kereta sempat meluangkan masa bersama penyokong untuk meraih undi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23 Chini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Bandar Dara, Chini, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 03 JULAI 2020

Esok calon BN, Mohd Sharim Md Zain dan dua calon bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli dan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin akan diundi oleh pengundi Chini bagi menggantikan penyandang, Datuk Seri Abu Bakar Harun yang meninggal dunia pada Mei lalu.

Seramai 20,816 pengundi bakal menunaikan tanggungjawab mereka di 13 pusat mengundi menerusi 65 saluran yang akan mula dibuka pada pukul 8 pagi hingga 5.30 petang.

Proses penjumlahan undi akan dilakukan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), sebelum wakil rakyat baharu diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK, Datuk Zaliza Zulkipli yang dijangka pada jam 10 malam.

Seramai 17 daripada 18 anggota polis telah melaksanakan tanggungjawab mereka pada pengundian awal Selasa lalu, selain Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan 156 kertas undi pos buat petugas pilihan raya.

PRK DUN Chini merupakan pilihan raya kecil ke-11 selepas PRU14 dan merupakan yang pertama buat Perikatan Nasional (PN) selepas mengambil alih kepimpinan negara daripada Pakatan Harapan pada Mac lalu. – MalaysiaGazette