Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican (tengah) mengatakan sesuatu dengan Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Tan Sri Mohamed Azman Yahya (dua kiri) sambil diperhatikan Pelumba Motorsikal Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah (tiga kiri) ketika mengadakan lawatan melihat persediaan SIC melangsungkan acara sukan permotoran di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 03 JULAI 2020.

SEPANG – Persiapan Litar Sepang Antarabangsa untuk menganjurkan semula sukan permotoran tidak bersentuhan (non-contact) cukup teratur dan terperinci daripada segi pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang ditetapkan kerajaan.

Bagaimanapun kini keputusan untuk memberi lampu hijau kepada sukan permotoran domestik itu kembali mengaum di litar antarabangsa berkenaan terletak di tangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau optimis penganjuran sukan permotoran akan kembali selepas ia dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat yang akan bersidang 9 Julai ini.

“Kita lihat SOP ini bertujuan untuk dibawa ke mesyuarat menteri-menteri semasa PKPP ini dan hasil tinjauan saya tadi persiapan yang dilakukan cukup teliti dan terperinci,” katanya semasa melakukan lawatan ke SIC hari ini.

Pada lawatan itu, beliau turut bertemu pelumba Malaysia antaranya Hafizh Syahrin, Danial Syahmi. Zaqhwan Zaidi, Azlan Shah Zulfahmi, Adam Khalid dan Mitchell Cheah.

Menurut Ahli Parlimen Kepala Batas, pihaknya akan memberi tumpuan kepada sukan permotoran peringkat domestik.

“Kita akan pergi secara berperingkat dalam negara dulu kerana kawalan sempadan bukan dibawah bidang kuasa saya sebaliknya membabitkan MKN, Kementerian Dalam Negeri dan Imigresen. – MalaysiaGazette