Calon Barisan Nasional, Mohd Sharim Md Zain beramah mesra dengan sebahagian penduduk selepas menunaikan solat hajat pada malam terakhir berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23 di Felda Chini 3, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 03 JULAI 2020

CHINI – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini, Mohd Sharim Md Zain melahirkan rasa terima kasih kepada semua jentera BN yang menggerakkan kempen untuk beliau.

Katanya, sekiranya jentera tidak bergerak maka kempen PRK yang ditandingi beliau tidak akan berjalan seperti yang dirancangkan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua jentera BN yang memastikan usaha perjalanan kempen yang berlangsung berjalan dengan lancar.

“Saya merayu kepada semua pengundi samada di Chini mahupun pengundi luar untuk keluar mengundi esok,” katanya di kediamannya, hari ini.

Mohd Sharim mewakili BN bagi mempertahankan kerusi Chini.

Esok segalanya akan terungkai apabila 20,816 pengundi DUN Chini keluar mengundi bagi menggantikan Datuk Seri Abu Bakar Harun.

Calon Barisan Nasional, Mohd Sharim Md Zain bercakap kepada media selepas menunaikan solat hajat pada malam terakhir berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23 di Felda Chini 3, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 03 JULAI 2020

Dalam pada itu, Mohd Sharim turut melahirkan rasa terima kasih ke atas kepimpinan yang memberikan kepercayaan kepada dirinya untuk diketengahkan sebagai calon.

“Terima kasih sebab beri kepercayaan kepada saya sebagai calon BN.

“Sepanjang perjalanan saya bertanding pada PRK kali ini, alhamdulillah ia sangat baik atas apa yang kita usahakan,” katanya lagi.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49. – MalaysiaGazette