Gambar Hiasan. foto HAZROL ZAINAL, 13 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Seramai 250 ahli PKR cabang Ampang, termasuk anggota Jawatankuasa, Wanita dan pemimpin AMK umum keluar parti berkuatkuasa serta merta.

Tindakan itu diambil selepas mereka hilang kepercayaan terhadap Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan parti yang didakwa hanya mementingkan kepentingan individu.

Selain itu mereka mendakwa masa depan ahli PKR semakin tidak jelas selepas melihat perjuangan parti tersebut terpesong dan hanya menumpukan matlamat kuasa untuk Anwar menjadi Perdana Menteri.

Termasuklah beberapa tindakan pemecatan dan menggantung keanggotan dilakukan sejak kebelakangan ini.

Mereka menyifatkan tindakan pucuk pimpinan itu bukan sahaja mengecewakan malah meruntuhkan muafakat dan keutuhan PKR yang dibina sejak 1999.

“Selain daripada hilang keyakinan terhadap individu bernama Anwar Ibrahim, kepimpinan Keadilan Cabang Ampang juga kabur mengenai masa depan ahli-ahli dalam parti apabila pemimpin berkredibiliti seperti Zuraida Kamaruddin yang mendapat sokongan majoriti ahli serta terbukti menumpahkan taat dan setia pada parti disingkirkan tanpa alasan munasabah, inikan pula kami yang hanya memimpin di peringkat akar umbi.

“Perjuangan Keadilan tidak lagi seperti dahulu yang memartabatkan prinsip perjuangan reformasi bagi membela seluruh rakyat Malaysia, tetapi kini perjuangan Keadilan hanyalah untuk mendapatkan kuasa semata-mata dan hanya alat bagi memenuhi cita-cita individu bernama Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri,” kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.

Berikutan itu individu terbabit kini menyatakan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Tumpuan kami di sini adalah untuk mengukuhkan kerajaan Perikatan Nasional yang akan sentiasa berdiri teguh menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8 yang dilantik Yang Dipertuan Agong mengikut lunas undang-undang serta ketetapan di dalam Perlembagaan Persekutuan,” tambah mereka. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Elok lah dah sedar. PKR asalnya ditubuh utk jatuhkan Tun, pastu matlamat berubah plak perguna kuasa rakyat utk elak Bg Non masuk lokap, pastu matlamat berubah lagi, perkuda ahli utk berjuang nak bebaskan dia dr sg buluh. Skang ni dia dah bebas, ahli kena kuda sekali lg nak bg Bang Non jd PM pulakkk. Selagi bang Non xjadi PM, jgn harap la ahli PKR lain akan merasa jd PM. Ingat Bang Non nak bg ka org len dr PKR potong line dia? Tarakk punyaa.. mati berangan ja la pemimpin PKR lain.

Comments are closed.