KUALA LUMPUR – Sekumpulan Ahli Jawatankuasa (AJK) PKR Ampang menafikan cabang berkenaan terbubar setelah 250 orang bertindak keluar parti hari ini.

Salah seorang AJK parti berkenaan, Suzana Shaharudin menegaskan, cabang Ampang terus berfungsi dan tidak terjejas dengan adanya lebih 16,000 ahli di kawasan itu.

Lebih 50 ahli PKR, termasuk AJK, yang hadir pada sidang media sebentar tadi turut meyatakan kesetiaan terhadap kepimpinan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

“Kami menafikan sekeras-kerasnya pembubaran Cabang Ampang oleh mantan Jawatankuasa Cabang Ampang. Kami AJK Ampang masih kekal setia dan yakin kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim Presiden PKR dan Datuk Seri Amirudin Shari selaku Pengerusi Pimpinan PKR Negeri Selangor.

“Sebagai AJK Cabang Ampang yang sah kami akan meneruskan aspirasi mandat rakyat yang telah diamanahkan kepada PKR walaupun beberapa pimpinan telah memilih untuk mengkhianati mandat suci ini.

“Usaha reformasi selama 22 tahun tidak akan terhenti hanya kerana segelintir yang berniat khianat bertindak keluar parti,” katanya.

Seramai 250 ahli PKR termasuk pemimpin peringkat cabang, Wanita dan AMK mengumumkan keluar parti hari ini selepas hilang keyakinan terhadap Anwar.

Pemimpin cabang berkenaan terdiri daripada 13 AJK Cabang Ampang, 12 AJK AMK dan sembilan AJK Wanita PKR.

Kesemua yang membuat keputusan keluar parti itu turut mendakwa PKR Cabang telah terbubar serta merta dengan berkata, jumlah mereka bersamaan dengan dua pertiga daripada AJK dilantik akar umbi ketika pemilihan parti.

Dalam pada itu Setiausaha Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor, Hamidi A Hasan berkata, ada di antara 250 yang mendakwa keluar parti hari ini telah pun dipecat lebih awal. 

Justeru dakwaan yang dikatakan berkenaan cabang tersebut terbubar akibat tindakan mereka adalah tidak berasas.

“(seramai) 250 yang hari ini kata keluar PKR ada yang sudah dipecat jadi mereka tidak ada hak sebenarnya,” katanya.-MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.