Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan saringan ke atas penduduk berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di sekitar kawasan Jalan Pudu, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Malaysia mencatatkan 10 kes baharu positif Covid-19 manakala 15 pesakit telah pulih dan didiscaj hari ini.

Tiada kes kematian direkodkan menjadikan jumlah kumulatif korban Covid-19 kekal 121.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdulllah berkata, daripada jumlah tersebut tujuh adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala tiga adalah kes penularan dalam negara yang melibatkan seorang rakyat asing.

Keputusan warganegara asing itu diketahui selepas saringan Orang Kena Tahan (OKT) di Seremban, Negeri Sembilan sebelum dipindahkan ke penjara.

Manakala dua rakyat Malaysia yang disahkan positif Covid-19 selepas menjalani saringan pra-pembedahan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM.

Pesakit telah dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh.

Seorang lagi pesakit melibatkan seorang petugas kesihatan yang telah tamat bertugas di sebuah pusat kuarantin di Likas.

“Sehingga kini, terdapat dua kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Kedua-dua kes tersebut memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dr. Noor Hisham memaklumkan Kluster Pudu yang merupakan kluster kediaman tapak pembinaan di Kuala Lumpur telah tamat.

Kes positif pertama dikesan pada 10 Mei lalu susulan saringan Covid-19 yang telah dijalankan bagi pekerja (inisiatif majikan syarikat tersebut).

Sehingga 3 Julai 2020, seramai 3,387 orang telah disaring dan didapati 80 kes yang positif COVID-19 (iaitu kadar positif 2.36 peratus).

Kes-kes positif kluster ini merangkumi 97.5 peratus bukan warganegara Malaysia. – MalaysiaGazette