Mohamed Aqil telah diraikan oleh Persatuan Alumni Sekolah SAMTTAJ itu dalam satu majlis makan malam di Shah Alam baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Kejayaan pelajar negara, Mohamed Aqil Azmi, 20, yang berjaya menyambung pelajaran ke Kolej Harvard iaitu sekolah sarjana universiti terkenal di seluruh dunia.

Ia bukan sahaja inspirasi bukan sahaja kepada sekolahnya tetapi juga kepada golongan muda di negara ini.

Pengerusi Persatuan Alumni Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah (SAMTTAJ), Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin berkata, pihaknya berbangga dengan pencapaian pelajar tersebut dan berharap kejayaan Mohamed Aqil memberi motivasi  kepada pelajar lain.

“Satu kebanggaan kepada persatuan sebab Mohamed Aqil adalah bekas pelajar SAMTTAJ di Shah Alam Selangor yang terpilih daripada 40,000 permohonan seluruh dunia.

“Pihak persatuan alumni sekolah meraikan Aqil kerana ini adalah pertama kali pelajar daripada SAMTTAJ dan juga sekolah aliran agama berjaya memasuki universiti berprestij itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Aqil telah diraikan oleh Persatuan Alumni Sekolah SAMTTAJ itu dalam satu majlis makan malam di Shah Alam baru-baru ini.

Sementara itu, Mohamed Aqil melahirkan rasa  gembira dan terharu dengan penghargaan yang diberikan oleh persatuan alumni sekolahnya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka  atas pemberian sumbangan dan sijil penghargaan. Saya berharap kejayaan ini menyuntik motivasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha memasuki universiti  terkemuka dunia,” katanya yang bakal mengikuti jurusan Matematik dan Falsafah.

Mohamed Aqil Azmi.

Selain Mohamed Aqil, seoarang lagi pelajar Malaysia yang  terpilih adalah Zad Chin Qi Qi yang pelajar perempuan dari Ipoh yang akan mengikuti  jurusan Sains Komputer dan Pengajian Sosial.

Sementara itu, Mohamed Aqil  yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik mendapat keputusan 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sedang mengikuti pengajian A- Level di Kolej Yayasan UEM Lembah Beringin, Selangor.

Bagaimanapun disebabkan wabak Covid-19, dia dan Zad Chin Qi Qi belajar di rumah dengan mengikuti pengajian dalam talian.

Mereka mendapat tajaan melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah  di bawah biasiswa Permodalan Nasional Berhad (PNB).

“Saya sepatutnya mendaftar masuk ke kampus pada 31 Ogos depan tetapi belum ada kata putus daripada universiti sama ada pengajian diteruskan atau ditangguhkan kerana Covid-19.

“Kini, saya sedang melakukan ulangkaji awal untuk silibus yang bakal saya pelajari di kolej. Saya juga ada menghubungi pelajar yang belajar di sana untuk lebih mengenali suasana sebenar,” ujarnya yang bercita-cita menjadi penganalisis kewangan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kelab Harvard Malaysia, pada  tahun lalu, sebanyak 40,248 permohonan untuk memasuki kelas pengajian Kolej Harvard namun hanya 1,980 pelajar diterima masuk dengan hanya 10.8 peratus pelajar antarabangsa.

Untuk rekod, kali terakhir pelajar Malaysia diterima masuk ke Kolej Harvard adalah pada 2017. – MalaysiaGazette