Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada sidang media Majlis Penyerahan Kapal KM Kota Kinabalu dan KM Tok Bali kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Destination Marine Services Sdh Bhd, Pelabuhan Klang. foto AFIQ RAZALI, 06 JULAI 2020

PELABUHAN KLANG – Pendaftaran Perikatan Nasional (PN) secara rasmi hanya boleh dimuktamadkan jika mendapat kerjasama daripada semua parti yang bernaung di bawahnya.

Menurut Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Hamzah Zainuddin, sebelum PN didaftarkan, setiap parti perlu mencapai persetujuan di peringkat parti masing-masing.

“Perancangan itu memerlukan kerjasama daripada semua parti yang mempunyai Perlembagaan dan prosedur masing-masing.

“Kita minta semua parti dapat menyelesaikannya dengan secepat mungkin,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini

Beliau mengulas tentang pendaftaran PN sebagai sebuah gagasan yang sah sebelum ia boleh digunakan parti-parti sekutu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Khamis lalu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak bersetuju jika PN bertanding sebagai gabungan tunggal yang menggunakan lambang baharu pada PRU15.

Sebaliknya Mohamad mahu parti-parti sekutu PN menggunakan logo masing-masing kerana sudah dan mudah dikenali rakyat.

Sementara itu, mengulas isu PRU15 mengejut dalam masa terdekat, Hamzah tidak melihat perkara itu satu keutamaan.

“Saya hanya Menteri Dalam Negeri yang biasa, yang menjaga rakyat dan keselamatan negara.

“Pada saya pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat atau masa panjang itu tidak menjadi agenda utama saya.

“Agenda utama saya adalah supaya rakyat yakin dengan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan Kerajaan PN.

“Ini kerana kerajaan hari ini benar-benar mempunyai kerjasama yang lebih teguh daripada kerajaan (Pakatan Harapan) sebelum ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Aku amat hairan mengapa Bersatu yg sedikit bilangan kerusi parlimen dlm PN senang2 boleh ‘call the shots’ hingga BN yg lebih byk kerusi dilihat menjadi ‘follower’. Apa sudah jadi Najib? Zahid? PRU15 nnti UMNO mesti diberi 120 kerusi, selebihnya diagihkan kpd baki parti2 lain dlm PN. Tak perlu bertanding dibawah logo PN, memadai guna logo parti masing2 yg lebih dikenali oleh rakyat.Satu lawan satu, itu baru jantan! Tidak akan ada melayu islam yg akan pangkah PH, hanya melayu liberal condong kpd LGBT yg berminat dgn PH atau bang Nuar pungkoq!

Comments are closed.