SKUAD wanita Hockademy memahat sejarah baharu apabila menjuarai Liga Hoki Wanita Malaysia 2020 pada Februari lalu.

KUALA LUMPUR – Pasukan Hockademy akhirnya menarik nafas lega selepas menerima hadiah wang kemenangan Liga Hoki Malaysia 2020 hari ini yang dimenangi pada Februari lalu.

Dalam satu kenyataan, barisan pengurusan Hockademy itu mengucapkan terima kasih kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang memberi kerjasama sewajarnya dalam menyelesaikan pembayaran.

“Pihak Hockademy percaya melalui pembayaran wang hadiah kemenangan itu dapat membantu meringankan beban pemain yang rata-ratanya terjejas akibat penularan COVID-19 selain membuktikan MHC sentiasa prihatin dengan nasib pemain.

“Sehubung itu, pihak Hockademy bercadang mengadakan satu majlis keraian penyerahan wang imbuhan kemenangan kepada pemain Hockademy dalam masa terdekat,” kata kenyataan itu.

Hockademy yang dimiliki ahli perniagaan, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin memahat sejarah baharu apabila menjuarai Liga Hoki Wanita Malaysia 2020 dalam penyertaan sulung mereka.

Bagaimanapun, hasrat pasukan itu merangkul kejuaraan berganda tidak kesampaian apabila tumpas kepada PKS Uniten 1-2 pada aksi final Piala Vivian May Soars.

Berdasarkan kejayaan menjuarai liga, skuad wanita Hockademy itu mendapat hadiah kemenangan RM50,000 dan tambahan RM15,000 selepas muncul naib juara Piala Vivian May Soars. – MalaysiaGazette