ringgitHarga saham di Bursa Malaysia tinggi semasa dibuka hari ini, didorong beberapa sokongan belian dalam saham wajaran tinggi terpilih walaupun pasaran saham Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelabur asing melupuskan lebih daripada separuh ekuiti tempatan minggu lalu kepada RM339.4 juta berbanding RM624.7 juta pada minggu sebelumnya.

MIDF Research dalam laporan aliran dananya berkata, setakat ini pelabur asing telah menjual sebanyak RM16.7 bilion ekuiti di Bursa Malaysia.

Meskipun begitu, Malaysia masih menyaksikan aliran keluar bersih asing terkecil berbanding enam pasaran Asia yang lain.

Firma penyelidikan itu berkata, pelabur antarabangsa menjual sebanyak RM12.7 juta ekuiti susulan peningkatan kes Covid-19 di seluruh dunia yang dikhuatiri menjejaskan pemulihan ekonomi.

Trend ini sama di semua pasaran Asia Tenggara.

Menurutnya, aliran keluar bersih asing berlaku setiap hari minggu lalu, dengan hari Rabu merekodkan aliran keluar bersih asing tertinggi kepada RM142.1 juta, kebetulan berlaku semasa penurunan Indeks Harga Pengeluar (PPI) Malaysia pada bulan Mei untuk bulan ketiga berturut-turut .

“Bagaimanapun, aliran keluar bersih asing mula reda pada hari Khamis dan Jumaat, dengan aliran keluar asing terendah minggu ini pada hari Jumaat kepada RM8.4 juta.

“Penjualan bersih asing yang lebih rendah pada hari Khamis dan Jumaat mungkin disebabkan oleh berita positif mengenai lonjakan dalam sektor pembuatan tempatan dengan skor Indeks Pengurus Pembelian (PMI) 51.0 pada bulan Jun dan data ekonomi yang optimis daripada Amerika Syarikat (AS) dan China, “katanya.

Berikutan itu, FBM KLCI ditutup lebih tinggi sekitar 4.3% pada 1,552.6 mata minggu lalu.

Jika dibandingkan dengan tiga pasaran Asia Tenggara pada minggu lalu, Malaysia mencatat aliran keluar asing terendah, diikuti oleh Indonesia dan Thailand.

Tetapi Filipina menjadi satu-satunya pasaran yang mencatatkan aliran masuk asing.

MIDF Research berkata, dari segi penyertaan, kumpulan runcit dan institusi mencatatkan kenaikan mingguan dalam nilai purata dagangan harian (ADTV) masing-masing sebanyak dua digit iaitu 38.7% dan 36.7%.

Sementara pelabur asing mengalami kenaikan mingguan terkecil dalam ADTV iaitu sebanyak 3.1% kepada RM907.3 juta, berada di bawah tahap baik iaitu RM1 bilion, “katanya. – MalaysiaGazette