Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati sebuah klinik pergigian swasta di sebuah bangunan terkenal di ibu kota beroperasi secara haram.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, klinik gigi berkenaan bukan klinik pergigian swasta seperti yang didefinisikan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Katanya, mana-mana premis yang menyediakan perkhidmatan pergigian hendaklah mendaftar dengan KKM dan sekiranya gagal, premis tersebut boleh disabitkan kesalahan di bawah seksyen 5 Akta 586 yang memperuntukkan hukuman didenda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

“KKM sedia maklum dan memandang serius mengenai kegiatan klinik gigi haram mahupun pengamal pergigian haram yang semakin berleluasa dalam menawarkan perkhidmatan pergigian.

“Pada tahun lepas, KKM menerima sebanyak 95 aduan berkaitan pengamalan pergigian haram manakala sehingga Jun tahun ini sebanyak 31 aduan telah diterima di mana aduan lebih tertumpu di negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Sehingga Jun ini, sebanyak 3,112 klinik pergigian swasta telah didaftarkan di bawah Akta 586 dan seramai 3730 pengamal pergigian yang berdaftar di bawah Akta Pergigian 1971 (Akta 51) mengamal di klinik pergigian swasta,” katanya dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette.

Tambah Noor Hisham, premis yang menyediakan perkhidmatan pergigian juga hendaklah dikendalikan oleh pengamal pergigian yang berdaftar di bawah Akta 51.

“Menjadi satu kesalahan di bawah Akta 586, sekiranya sesuatu premis tidak berdaftar digunakan untuk merawat, cuba merawat atau mengaku untuk merawat, mengubati, melegakan atau mencegah apa-apa penyakit, kekurangan atau lesi atau sakit gigi atau rahang manusia.

“Atau digunakan untuk melaksanakan apa-apa pembedahan pada gigi atau rahang manusia, juga apa-apa kerja radiografi berkaitan dengan gigi atau rahang atau rongga mulut manusia.

“Atau digunakan untuk apa-apa rawatan, nasihat, bantuan pada atau kepada mana-mana orang berkaitan dengan pemadanan atau pemasukan bagi maksud pemadanan atau pemasangan gigi buatan atau korona atau jambatan atau suatu alat bagi pemulihan atau pengaturan gigi atau rahang manusia,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, KKM mengambil berat laporan-laporan yang diterima mengenai pelanggan mengalami komplikasi atau kesan buruk daripada perkhidmatan tidak profesional yang ditawarkan oleh pengamal pergigian haram mahupun di premis haram.

“Ini termasuk perkhidmatan pembuatan gigi palsu, penskaleran (scaling), pemutihan gigi (tooth whitening), venier (veneer) dan pendakap gigi palsu (fake braces).

Pelbagai kesan buruk atau komplikasi seperti kesakitan, infeksi, ulser mulut, gigi longgar, pergerakan gigi yang luar biasa, karies gigi, kehilangan gigi dan gusi yang bengkak serta bernanah boleh terjadi sekiranya rawatan ini diberikan oleh pengamal pergigian haram.

“Di samping itu, peluang untuk dijangkiti Hepatitis adalah tinggi kerana pembasmian kuman ke atas peralatan tidak dilakukan dengan sempurna.

“Klinik pergigian haram tidak menyediakan keperluan yang sepatutnya disediakan seperti klinik pergigian yang berdaftar.

“KKM sering mengingatkan orang awam supaya sedar dan peka akan kesan buruk yang akan dialami sekiranya mendapatkan perkhidmatan daripada pengamal pergigian tidak bertauliah dan rawatan di premis yang tidak berdaftar dengan KKM.

“Menjadi tanggungjawab KKM untuk memastikan keselamatan rakyat dijaga dengan sempurna.

“Justeru, KKM menyeru orang ramai untuk mendapatkan sebarang rawatan pergigian di klinik pergigian kerajaan mahupun swasta yang berdaftar serta daripada pengamal pergigian yang bertauliah dan berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia,” katanya.

Semakan pendaftaran klinik pergigian swasta boleh disemak di laman web http://medicalprac.moh.gov.mymanakala pendaftaran pengamal pergigian di laman web http://dpims.moh.gov.my.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Klinik pergigian mewah beroperasi secara haram?