Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin (tengah) bersama Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som (kiri) melawat pengemudian kapal KM Kota Kinabalu pada Majlis Penyerahan Kapal KM Kota Kinabalu dan KM Tok Bali kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Destination Marine Services Sdh Bhd, Pelabuhan Klang. foto AFIQ RAZALI, 06 JULAI 2020

PELABUHAN KLANG – Ketegasan kerajaan terhadap pekerja asing tanpa izin (PATI) yang bekerja tanpa permit dan dokumen sah sebenarnya adalah kehendak rakyat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan, rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang tegas terhadap semua pihak yang melanggar undang-undang di negara ini.

“Kalaupun media asing mengatakan kita begitu garang dan tegas, saya rasa itulah kehendak rakyat.

“Rakyat memerlukan kerajaan yang tegas terhadap mereka yang melakukan kesalahan.

“Jadi kita jangan ambil hal tentang media asing yang suka memutarbelitkan cerita yang bukan-bukan,” katanya pada sidang media di Destination Marine Services Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Terdahulu Hamzah menyaksikan Majlis Penyerahan Kapal Peronda Baharu (NGPC) KM Tok Bali dan KM Kota Kinabalu kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Turut hadir Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som.

Beliau mengulas laporan saluran berita antarabangsa, Al-Jazeera berhubung dakwaan wujud isu perkauman terhadap warga asing ketika negara mengendalikan pandemik Covid-19.

Laporan Al-Jazeera itu menerusi video berdurasi 25 minit 50 saat itu bertajuk “Locked Up in Malaysia’S Lock down” yang mula disiarkan kepada umum, sejak semalam.

Dalam pada itu, Hamzah juga menegaskan, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu memihak kepada rakyat, lebih-lebih lagi melibatkan kepentingan warganegara.

“Saya tak nak ambil hal tentang masalah media orang luar. Yang penting kepada saya adalah rakyat Malaysia.

“Kerajaan ini lebih memihak kepada kehendak rakyat.

“Rakyat nak melihat supaya semua orang yang duduk dalam negara ini mengikut undang-undang yang ada dalam negara,” jelasnya.

Hamzah turut mempertahankan langkah kerajaan Malaysia ketika mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di penempatan warga asing di Kuala Lumpur.

Tindakan kerajaan itu sebenarnya mengikut undang-undang, manakala tangkapan pula selari dengan prosedur operasi standard (SOP).

“Apabila kita tangkap sesiapa yang melakukan kesalahan terpaksa kita bawa untuk hadapi undang-undang yang ada dalam negara kita,” katanya.

Kerajaan tidak pernah menafikan peranan pekerja asing dalam membangunkan negara ini, namun mereka perlu bekerja secara sah dan mematuhi peraturan di negara ini.

“Kalau mereka mahu bekerja di sini, biarlah mereka mempunyai permit dan dokumen yang sah, bukan kita tak mahu mereka bekerja dengan mereka.

“Kita nak membangunkan negara ini, kita perlukan pekerja-pekerja terutamanya yang nak melakukan kerja-kerja berat.

“Sudah tentu kita perlukan pekerja-pekerja daripada warga asing. Yang penting kepada kita biar mereka itu mengikut undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Undang2 meliputi semua undang2 yang ada dalam negara kita. Undang2 mesti dipatuhi dan itulah kehendak undang2. Tidak mengikut Undang2 bererti melanggar rakyat dan negara. Undang2 menjamin keselamatan semua demi keselamatan negara. Perlu tegas dalam penguat kuasaannya kepada semua tanpa mengira latar belakang sesiapa.

Comments are closed.