Eddin Syazlee Shith

KUALA LUMPUR – Ahli Bersatu yang bersama lima pemimpin yang dipecat keahlian daripada parti termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad diminta kembali bersama semual dalam parti untuk meneruskan perjuangan.

Ketua Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Shith menyeru kumpulan ahli yang diberi nama jolokan Black Out itu supaya berfikiran rasional dan pulang ke pangkuan parti.

“Buang yang keruh ambillah yang jernih. Tiada gunanya kita terus bersengketa sehingga merugikan diri sendiri dan juga menjejaskan perpaduan dalam parti.

“Kembalilah ke pangkuan parti dan mari kita bersama-sama memperkukuhkan Bersatu dalam menghadapi cabaran serta persediaan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Eddin Syazlee, pada Mei lalu, Mahathir bersama empat lagi iaitu Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Dr Maszlee Malik serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah digugurkan keahlian mereka daripada Bersatu.

Keahlian kelima-lima mereka digugurkan atas alasan duduk di bangku pembangkang ketika persidangan pembukaan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Susulan itu mereka bersama pengikut bertindak menukar logo Bersatu kepada warna hitam putih bagi melambangkan black out dan bantahan.

Ujar Eddin Syazlee yang juga Timbalan Menteri Kementerian Kerja Raya itu secara peribadi mengganggap tindakan ahli kumpulan Black Out itu merupakan satu manifestasi luahan perasaan susulan insiden yang berlaku sebelum ini.

Oleh itu jelas beliau, semua pihak tidak boleh terus menghukum kumpulan berkenaan kerana mereka memerlukan masa untuk bertenang untuk menerima situasi semasa yang berlaku.

“Saya percaya mereka merupakan ahli-ahli Bersatu yang ikhlas dalam perjuangan cuma mereka mungkin terperanjat dengan apa yang berlaku sebelum ini.

“Apa pun saya yakin semua ahli kumpulan itu sudah bersedia untuk terima keadaan itu sebagai satu proses biasa mendisplinkan ahli dalam mana-mana pertubuhan yang memiliki peraturan serta perlembagaan parti.

“Tidak timbul persoalan bahawa parti mahu menganiaya mana-mana ahli kerana segala keputusan dibuat berdasarkan perundangan atau perlembagaan Bersatu,” katanya yang juga calon Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi bagi pemilihan Bersatu.- MalaysiaGazette