Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) membuat gimik Pelancaran Hari Banci Malaysia diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed (kiri) dan Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin (kanan) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 07 JULAI 2020.

PUTRAJAYA – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini menggesa agar rakyat negara ini membantu menjayakan Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci 2020).

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin banci ini dibuat selaras dengan agenda kesejahteraan dan kelestarian negara.

“Walaupun situasi negara masih mendepani saat-saat sukar susulan serangan wabak Covid-19 dan fasa PKPP yang kita lalui bersama, saya percaya panduan SOP akan disediakan dan dipatuhi para petugas Jabatan Perangkaan Malaysia dan kalangan masyarakat yang terlibat dalam melengkapkan keperluan Banci 2020 ini.

“Maklumat yang dibekalkan ini akan mencorakkan kehidupan generasi pada masa hadapan, yang bakal mengemudi negara ini ke satu tahap yang lebih baik. Jika diimbas kembali, kehidupan dan nikmat yang kita perolehi pada hari ini adalah hasil kerjasama dan komitmen rakyat yang membekalkan maklumat pada 5 Banci terdahulu,” katanya ketika merasmikan Hari Banci Penduduk dan Perumahan 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Hadir sama adalah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, dan Menteri Pendidikan, Dr Radzi Jidin.

Tambah Muhyiddin, pelaksanaan Banci 2020 sangat penting dalam memberikan gambaran sebenar mengenai situasi penduduk semasa yang akan menjadi sumber rujukan kepada perancangan pembangunan negara.

Melalui Banci 2020, saiz penduduk, taburan ekonomi, komposisi dan ciri sosioekonomi penduduk serta perumahan di negara dapat dikenalpasti.

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menjadi individu pertama yang dibanci dalam Banci 2020.

Ini banci keenam yang dibuat saya oleh kerajaan dan dibuat 10 tahun sekali. – MalaysiaGazette