Foto Instagram Bunga Cinta Lestari.

KUALA LUMPUR – Hampir lima bulan kehilangan orang tersayang sekelip mata, penyanyi popular Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL) meluahkan kesukarannya untuk bangkit meneruskan kehidupan selepas pemergian suami tercinta, Allahyarham Ashraf Sinclair.

Menerusi YouTube rasminya, semalam, BCL memberitahu terlalu payah buat dirinya kembali ke pentas selepas kehilangan tulang belakang yang selama ini setia menyokong kerjaya seninya.

“Jujur sahaja, hari ini saya berada di sini kerana lebih dari setahun yang lalu, saya di sini, ditemani Allahyarham suami.

“Jadi tempat ini memberi makna yang cukup istimewa dan ada kenangan tersendiri buat saya.

“Dear love, sempat terlintas di kepalaku, bisakah aku jalani ini? Kuatkah aku? Kadang rasanya ingin menyerah, tapi tidak. Aku putuskan untuk terus berjalan,” luahnya.

Dalam babak pertama video berdurasi 11.20 saat itu, penyanyi Cinta Sejati ini dipaparkan sedang bersiap-siap menuju ke pentas untuk membuat persembahan di sebuah pusat beli-belah di Jakarta Selatan, iaitu kemunculan pertamanya selepas 10 hari pemergian arwah Ashraf.

Walaupun masih bergelut dengan perasaan sedih, BCL yang mengenakan pakaian serba hitam, dilihat cukup kuat untuk menghiburkan peminat yang turut memberi dorongan dan semangat kepadanya.

Biarpun ramai yang mempersoalkan tindakannya menyanyi ketika masih dalam tempoh berkabung berdasarkan keratan tajuk berita yang dikepilkan dalam video itu, namun, ibu kepada Noah Aidan Sinclair ini tetap cekal.

Melalui coretan itu, penyanyi dan pelakon berusia 37 tahun ini menjelaskan, dia dan Noah telah bangkit meneruskan kehidupan.

“Kucuba untuk berdiri kuat, berganding tangan dengan Noah meneruskan sisa hari tanpamu.

“Ini bukan perjalanan yang biasa bahkan membuatku merasa asing dan tak tahu harus ke mana. Apa yang aku tahu, aku harus menyelesaikan tanggungjawabku,” katanya.

Sejak dimuat naik, video itu merekodkan jumlah tontonan melebihi 2.2 juta.

Bulan lalu, BCL memuat naik episod pertama video “Dear Loveā€¦” yang menterjemahkan rasa rindu terhadap arwah Ashraf.

BCL dan Ashraf mendirikan rumah tangga pada 2008 dan dikurniakan Noah yang kini berusia 10 tahun.

Februari lalu, industri hiburan Malaysia dan Indonesia dikejutkan dengan pemergian mengejut Allahyarham Ashraf akibat serangan jantung. – MalaysiaGazette