Larry Low Hock Peng

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan beberapa pindaan, termasuk nama bank serta jumlah dipinda oleh pendakwaan, dalam kes lucut hak bernilai lebih RM48 juta milik bapa kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Pada Julai tahun lalu, mahkamah telah memerintahkan wang lebih RM48 juta yang dirampas daripada tujuh akaun bank milik Tan Sri Larry Low Hock Peng menjadi milik kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun, menurut Timbalan Pendakwa Raya Unit Jenayah Pengubahan Wang Haram dan Pelucutan Hasil Jenayah, Mohamad Nuzul Azuar Zulkifli, pihaknya telah memohon beberapa pindaan terlebih dahulu.

Kata Mohamad Nuzul, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan di kamarnya berhubung pendengaran bagi pindaan ini yang telah ditetapkan pada 24 Julai ini.

“Ada beberapa pindaan kecil perlu dilakukan dan kita (pendakwaan) telah membuat permohonan tentang perkara ini,” katanya ringkas kepada sekumpulan media sebentar tadi.

Bagaimanapun Mohamad Nuzul tidak memberikan sebarang perincian tentang pindaan-pindaan itu.

MalaysiaGazette difahamkan antara pindaan itu termasuklah nama bank akaun milik Hock Peng selain jumlah ‘kecil’ dalam salah satu akaun milik ahli perniagaan itu.

Sebelum ini, Mohamed Zaini membuat keputusan lucut hak Hock Peng selepas pemohon, Aaron Abhilash Chelliah memaklumkan kepada mahkamah bahawa tiada pihak ketiga hadir bagi menunjukkan sebab mengapa harta berkenaan tidak boleh dilucutkan hak.

Sehubungan itu, Mohamed Zaini memerintahkan semua wang berjumlah RM48,979,500.67 dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Hock Peng tidak hadir pada prosiding ketika itu walaupun waran tangkap dikeluarkan terhadap beliau.

Wang yang dibekukan oleh pihak berkuasa dalam akaun Hock Peng dipercayai sebahagian daripada siasatan ke atas 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Sebanyak tujuh akaun milik bapa Jho Low atau Low Teak Jho adalah daripada RHB Bank dan Malayan Banking Berhad (MBB) masing-masing di cawangan KLCC, Kuala Lumpur dan Plaza Gurney, Pulau Pinang.

Harta terbabit adalah wang berjumlah RM20,784,952.56 dengan faedah dalam akaun semasa atas nama Hock Peng (Responden) di RHB Bank yang disita pada 11 Disember 2018.

Terdapat empat lagi akaun RHB Bank masing-masing berserta faedah, wang berjumlah RM300,000; RM500,000 dan RM20 juta.

Bagi akaun MBB jumlah terbabit termasuk faedah ialah RM6,613,970.78, RM462,618.38 dan RM318,021.95.

Pada 29 Mac, kerajaan memfailkan tindakan pelucutan sivil untuk membekukan tujuh akaun bank milik Hock Peng dengan mendakwa ia adalah hasil daripada kegiatan pengubahan wang haram. – MalaysiaGazette