Brendan Rodgers

LONDON – Pengurus Leicester City, Brendan Rodgers yakin pasukannya mampu melayakkan diri ke Liga Juara-Juara walaupun bergelut dengan prestasi pada hujung saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Leicester ketika ini menduduki tangga ketiga selepas mencatat kemenangan 3-0 Sabtu lalu semasa berdepan Crystal Palace sekaligus menamatkan kemarau empat perlawanan tanpa kemenangan dalam semua kejohanan sejak aksi bersambung semula akibat Covid-19.

Rodgers percaya pasukannya mampu menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik, walaupun persaingan semakin sengit, dengan pasukan tempat kelima, Manchester United hanya tiga mata di belakang mereka.

“Tidak perlu disangsi lagi, kami sudah membuktikan dalam 33 perlawanan. Memang kami kehilangan beberapa pemain tapi sebagai satu skuad kami tetap fokus untuk mencapainya dan berjuang sehingga wisel penamat.

“Apa yang pemain sudah lakukan sangat luar biasa. Saya sangat jelas mengenai perkara itu dan mendapat perspektif semuanya,” kata Rodgers.

Arsenal pada masa ini bangkit ketika peluang melayakkan diri ke Liga Juara-Juara sangat tipis selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Wolves.