Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan mahu lebih ramai pekerja dalam sektor ekonomi gig mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) agar mendapat perlindungan yang sewajarnya.

Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, di bawah inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) Gig, beberapa sesi libat urus telah dijalankan bersama sektor pertanian, penjaja, pengangkutan penumpang, barangan dan makanan, serta lebih 38 penyedia platform perkhidmatan gig.

Ini kerana, menurut Perkeso, kesedaran masih kurang dan sejak Januari 2020 hingga kini, hanya 7% atau 28,425 pekerja ekonomi gig berdaftar dengan pertubuhan itu berbanding sasaran 400,000 pekerja.

Dengan bayaran sebanyak RM232.80 untuk setahun, kerajaan membayar 70% (RM163) manakala 30% (RM69.80) ditampung penyedia platform.

”Oleh itu, kalau tuan-tuan dan puan-puan menaiki Grab atau membuat tempahan makanan dengan FoodPanda, tanyakanlah pekerja gig tersebut – “dah mencarum dengan Perkeso ke belum?”

”Kalau dah, beri mereka rating 5-star,” kata Menteri Kewangan itu ketika memberi perkembangan terkini tentang Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Penjana.

Menurut Tengku Zafrul, beliau berkesempatan untuk berjumpa dengan beberapa pekerja dan majikan
yang menerima manfaat daripada program itu serta keselamatan sosial tersebut.

”Alhamdulillah, penerimaan bantuan amat baik dan telah dapat membantu mengurangkan beban aliran tunai perniagaan, serta menyelamatkan pekerjaan,” tambahnya.

Mengenai program MY30, yang mana Kerajaan memperuntukkan RM200 juta bagi penggunaan tanpa had dengan bayaran RM1 sahaja sehari selama 30 hari untuk MRT, LRT, monorel, BRT, Bas RapidKL dan Bas Pengantara MRT, setakat 30 Jun lalu 2020, sebanyak 77,790 pas telah dijual.

Ia membabitkan subsidi kerajaan sebanyak RM13.2 juta.

Mengulas PENJANAKerjaya iaitu program insentif pengambilan pekerja dan bantuan latihan, dengan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion, sehingga 6 Julai, 106,308 kekosongan jawatan dipaparkan dan 123,919 pencari kerja didaftarkan melalui inisiatif MYFutureJobs. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.