A'zlan Abu Bakar
Pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia (TUNTUT), A'zlan Abu Bakar. foto AFFAN FAUZI, 10 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Gerakan Tuntut Malaysia (TUNTUT) mendesak operator perkhidmatan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan agar tidak mengambil mudah terhadap kebajikan mereka yang menggunakan motosikal atau p-hailing.

Pengerusinya, A’zlan Abu Bakar menegaskan, jaminan inilah yang menarik minat kebanyakan anak muda untuk menyertai kerjaya pemandu p-hailing ini seperti yang dihebahkan oleh syarikat tertentu dengan pulangan mahupun pendapatan lumayan.

Bagaimanapun dakwanya ada syarikat penghantar makanan ini tidak menghiraukan kerugian mahupun kebajikan rider mereka sejak akhir-akhir ini.

“Wujudnya prosedur operasi standard (SOP) yang sentiasa berubah-ubah untuk rider dalam proses upah pada setiap penghantaran makanan.

“Perubahan ini bukannya memberikan penambahbaikkan tetapi ianya perubahan yang memangsakan rider itu sendiri.

“Isu ini bukanlah satu perkara yang baru tetapi ia pernah disuarakan oleh kalangan rider kepada bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dahulu.

“Namun janji hanya tinggal janji sehinggalah perkara ini tiada kesudahan dan dibiarkan sahaja nasib rider ini semua. Lebih mustahak adalah penglibatan anak muda merupakan majoriti dalam kerjaya rider p-hailing ini.

“Pilihan mereka menjadi rider adalah kerana terpaksa akibat kecilnya peluang pekerjaan dan juga usaha untuk menambah pendapatan akibat bebanan kos sara hidup,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, TUNTUT akan mewakili suara anak muda khususnya rider penghantar makanan ini bagi menuntut syarikat pengendali perkhidmatan itu agar tidak terus mengambil mudah perkara yang berkaitan upah ini.

“Seandainya perkara ini masih tiada penyelesaian, kita akan terus menghantar memorandum kepada pihak kerajaan iaitu Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk mencari penyelesaian terbaik.

“Kami tidak teragak-agak untuk membawa ratusan rider ketika penghantaran memorandum itu pada 17 Julai ini jam 3.00 petang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette