Park Won-soon

SEOUL – Datuk Bandar Seoul, Park Won-soon dilaporkan hilang pada Khamis selepas meninggalkan pesan kepada anak perempuannya yang kedengaran seperti sebuah wasiat.

Menurut polis, operasi mencari secara besar-besaran sedang dijalankan dan ketika ini pencarian sedang dijalankan di sebuah gunung kecil dalam kawasan kejiranan Sungbuk di Seoul di mana lokasi terakhir telefon bimbitnya dikesan.

Menurut polis, telefon bimbit beliau ketika ini dimatikan.

Anak perempuan beliau membuat panggilan kepada pihak polis tengahari tadi dan memberitahu bapanya meninggalkan “satu pesanan seperti wasiat” sebelum keluar dari rumah empat atau lima jam sebelum itu.

Anak perempuannya bagaimanapun tidak menjelaskan isi kandungan sebenar pesanan tersebut, kata salah seorang pegawai di Agensi Polis Metropolitan Seoul yang bertanggungjawab terhadap operasi pencarian Won-soon.

Katanya, anak perempuan Datuk Bandar itu membuat keputusan untuk membuat laporan polis selepas gagal menghubungi bapanya melalui telefon.

Kira-kira 150 anggota, sebuah dron dan seekor anjing polis digerakkan untuk mencari Won-soon.

Seorang pegawai dari Kerajaan Metropolitan Seoul Kim Ji-hyeong mengesahkan Won-soon tidak hadir bekerja hari ini tanpa sebab yang khusus.

Malah, beliau turut membatalkan semua temu janjinya termasuk mesyuarat dengan seorang pegawai Presiden di pejabatnya.

Won-soon yang sebelum ini merupakan aktivis dan peguam hak asasi dipilih sebagai Datuk Bandar Seoul pada 2011 dan menjadi datuk bandar pertama yang diundi untuk penggal ketiga pada Jun tahun lepas.

Beliau merupakan ahli parti Demokratik pimpinan Presiden Moon Jae-in dan mempunyai potensi besar sebagai calon presiden untuk parti itu pada pilihan raya 2022.- Agensi