Pintu gerbang Port Klang Free Zone di Ibu Pejabat Port Klang Free Zone (PKFZ), Pelabuhan Klang. foto AFIQ RAZALI, 09 JULAI 2020

KLANG – Sektor pelabuhan dan logistik dijangka kembali pulih secara berperingkat melalui pembukaan sektor-sektor ekonomi di Pelabuhan Klang berbanding bulan Mac hingga Mei sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Pengangkutan, Datukm Seri Wee Ka Siong berkata, beberapa langkah pemulihan termasuk pemberian insentif kewangan kepada sektor logistik dan perkapalan susulan dari kesan penularan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, Jemaah Lembaga Pelabuhan Klang yang bersidang pada 6 Julai lalu telah meluluskan beberapa kaedah pemberian insentif untuk sektor berkenaan.

“Pelanjutan tempoh simpanan percuma tambahan import daripada empat hari dinaikkan kepada enam hari manakala untuk eksport daripada lima hari dinaikkan kepada 7 hari.

“Langkah ini dijangka membolehkan pengimport dan pengeksport tempatan untuk menggunakan kawasan pelabuhan untuk simpanan kargo sekiranya premis mereka tidak mempunyai ruang yang mencukupi tanpa dikenakan sebarang bayaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Lembaga Pelabuhan Klang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, pengecualian permit dan yuran dalam tempoh sehingga Disember 2020 yang dikenakan oleh Other Government Agencies (OGA) turut diberikan bagi mengurangkan kos yang ditanggung oleh pengguna pelabuhan seterusnya menggalakkan pertumbuhan di dalam sektor pelabuhan.

Katanya, insentif komersial daripada operator terminal kepada syarikat perkapalan, pengimport dan pengeksport turut disertakan bagi meringankan beban kewangan dan menggalakkan aktiviti perdagangan.

Tambah beliau, sistem digitalisasi secara bersepadu turut dibangunkan di Pelabuhan Klang bagi meningkatkan produktiviti seterusnya mempelbagaikan variasi perdagangan di dalam sektor logistik.

“Mempertingkatkan kapasiti infrastruktur di Pelabuhan Klang bagi mempertingkatkan lagi produktiviti dan perdagangan di Pelabuhan Klang.

“Pemberian insentif kewangan oleh LPK berjumlah RM3,234,615 kepada penyewa-penyewa tanah LPK, Syarikat Perkapalan dan Operator Jeti mulai pada bulan Mac 2020 hingga Disember 2020,” ujarnya.

Katanya lagi, penangguhan terhadap bayaran sewa pajakan Port Klang Free Zone (PKFZ) sebanyak 30 peratus diberi untuk tempoh enam bulan dari Julai hingga Disember 2020 yang berjumlah RM14 juta dan akan dibayar semula oleh pemajak pada tahun 2021.

Dalam perkembangan berkaitan, Ka Siong turut memaklumkan pihaknya meletakkan sasaran menjadikan Pelabuhan Klang antara 10 pelabuhan terbesar didunia.

“Potensi Pelabuhan Klang ini sangat besar, sekarang kita dalam kedudukan ke-12 terbesar, tidak jauh dari kedudukan 11 dan 10, ini merupakan hasrat kita menjadi salah satu pelabuhan 10 terbesar didunia.

“Antara perkara perlu kita lakukan ialah meneruskan projek-projek pembesaran terminal kita, pada masa sama pegendalian kargo dan kontena perlu ditingkatkan.

“Kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan akan memberi sokongan penuh kepada projek pembesaran terminal,” katanya.

Ka Siong turut memaklumkan kritikan terhadap projek PKFZ sebelum ini ternyata meleset apabila pembangunan di pelabuhan yang disediakan hampir 100% telah digunakan.

“Satu ketika dulu orang mempersendakan projek PKFZ, projek gagal kononnya, tapi hari ini ia terbukti satu projek yang berjalan. Setakat ini dari 628 ekar tanah 99 peratus telah digunakan bermaksud tidak sampai 7 ekar belum guna, itupun ada orang datang bincang nak bangunkan, bermaksud hampir 100 peratus pengunaan tanah di PKFZ terlah berlaku,” katanya. – MalaysiaGazette