Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan Murugan berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Kelulusan Pengiktirafan Pusat Pengajar Pegawai Keselamatan dan Kesihatan di Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 09 JULAI 2020.

PUTRAJAYA – Negara memerlukan lebih ramai Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (SHO) selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, setakat Mei 2020, seramai 4,953 SHO telah berdaftar dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP)

Katanya, angka itu bersamaan 7.5 peratus daripada jumlah keseluruhan Orang Yang Kompetan (OYK) iaitu seramai 66,262 orang yang aktif dan berdaftar dengan JKKP.

“Ingin saya tegaskan di sini bahawa dalam situasi sekarang saya pasti angka ini harus ditingkatkan dengan kadar segera.

“Justeru, KSM akan turut memberi keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan di tempat kerja melibatkan pekerja dengan kerjasama erat majikan, pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta pekerja,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Kelulusan Pengiktirafan Pusat Pengajar Pengawai Keselamatan dan Kesihatan serta Sijil Kelulusan Alat Kelengkapan Pelindung Diri di kementeriannya hari ini.

Sebanyak sembilan pusat pengajar menerima sijil pengiktirafan tersebut.

Tambah beliau, setakat ini KSM menerusi JKKP telah mengiktiraf 49 pusat pengajar dan 563 tenaga pengajar yang aktif mengendalikanm kursus SHO pada pelbagai peringkat pendidikan.

Kata beliau, selaras dengan komitmen kerajaan meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan adalah menjadi tanggungjawab pusat pengajar bagi memastikan SHO yang dilahirkan sentiasa relevan dan berdaya saing seiring dengan keperluan semasa.

Sementara itu, beliau mengingatkan pusat pengajar untuk menerapkan nilai dan etika yang tinggi bagi memastikan SHO yang dihasilkan bukan sahaja berpengetahuan dan berkemahiran tetapi juga mempunyai nilai integriti yang tinggi.

“Untuk makluman kemalangan di tempat kerja di negara kita pada tahun 2019 adalah sebanyak 112 kes setiap hari bersamaan 40,811 kes setahun manakala kemalangan maut pula pada kadar 1.6 kes setiap hari bersamaan 578 kes setahun.

“Justeru setakat Jun 2020, sebanyak 3,315 kes kemalangan di tempat kerja direkodkan dan 93 kes maut pula sedang disiasat JKKP.

Berikutan itu, katanya, pelbagai usaha telah dijalankan untuk mewujudkan kesedaran betapa pentingnya keselamatan dan kesihatan pekerja namun lebih penting lagi adalah usaha menghasilkan dan melahirkan lebih ramai SHO. – MalaysiaGazette