Musliati Moslimin

KUALA LUMPUR – Hati kami, UMNO Sabah sudah terguris, tegas Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Moslimin.

Kata beliau, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad perlu meminta maaf secara terbuka kepada UMNO Sabah.

“Dr. Abd. Latiff mengeluarkan kenyataan yang mengguris hati UMNO Sabah. Beliau lahir dari kilang UMNO, tetapi hari ini menghina UMNO antara produk yang rosak.

“Lebih baik beliau lepaskan jawatan sebagai menteri, sebab tidak sensitif dengan perasaan rakan kongsi yang bersama membantu membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Dr. Abd. Latiff yang juga Ahli Parlimen Mersing itu mendakwa, UMNO Sabah sudah tidak laku lagi kerana ramai ahlinya telah menyertai parti Bersatu.

Dalam rakaman video yang tular, beliau dilaporkan berkata: “Saya orang yang melompat, teruk juga saya kena kutuk. Biasa la tu, kalau tak nak (lompat), tak payah masuk politik.

Musliati mahu kepimpinan UMNO mengambil semula 55 kerusi parti itu yang ditinggalkan pemimpinnya kerana lompat ke parti lain pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Katanya, pelompat parti itu boleh mencari parti lain dan bertanding melawan UMNO kalau mereka mahu semula kerusi berkenaan.

Beliau berharap UMNO dan Dr. Abd. Latiff dapat bertembung pada PRU ini untuk dilihat siapa masih relevan dan lebih laku.

“Dr. Abd. Latiff antara pilot yang perlu mengembalikan jetnya kepada UMNO.

“Saya sarankan beliau buka akaun Twitter, Facebook dan Instagram agar dapat membaca serta melihat sokongan ahli UMNO, rakyat dan netizen terhadap tingkah lakunya,” katanya.- MalaysiaGazette