Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) sudah  mula membuat persediaan rapi untuk memudahkan urusan pelajarnya pulang semula ke kampus mulai Julai hingga Oktober ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, keutamaan diberikan kepada memudahkan urusan kepada pelajar yang berasal daripada keluarga B40 dan asnaf.

“UPM sedang merancang persiapan rapi bagi pembukaan kampus sepenuhnya dengan mempermudah urusan kepulangan pelajar ke kampus, khususnya mereka yang berasal daripada keluarga B40 dan asnaf.

“UPM juga mengurus untuk menyediakan penginapan pelajar sama ada dalam dan di luar kampus,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

UPM dalam masa yang sama menyokong penuh keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memulakan semula proses pembelajaran seperti biasa dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Meskipun pembelajaran maya akan diteruskan sehingga hujung tahun ini, kemasukan pelajar sepenuhnya pada bulan Oktober nanti diharap akan dapat meneruskan pembelajaran bersemuka selain kegiatan ko-kurikulum yang sangat penting sebagai interaksi sosial pelajar untuk melahirkan graduan yang holistik.

“Tanpa menafikan kepentingan dan kewajaran pembelajaran maya, pembelajaran bersemuka tentunya memberikan pengalaman pembelajaran yang berbeza apabila berlaku interaksi pelajar dengan pensyarah secara langsung,” tambahnya.

Penjelasan yang lebih terperinci mengenai keperluan penginapan dan pembelajaran pelajar akan dikeluarkan sedikit masa lagi. Justeru, pelajar tidak perlu bimbang dan khuatir. Jika wujud sebarang kemusykilan dan pertanyaan oleh para pelajar, mereka boleh menghubungi HOTLINE, Bahagian Hal Ehwal Pelajar di talian 03-97696075/6073/8055.

Terbaharu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad mengumumkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dibenarkan kembali ke kampus secara berperingkat mulai bulan ini dengan kemasukan sepenuhnya pada Oktober depan.-MalaysiaGazette