Aksi pemain Skuad Bawah-19 Tahun Negara (B-19) sewaktu menjalani kem latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 10 JULAI 2020.

KELANA JAYA – Hari ini hari keempat seramai 35 pemain bola sepak Skuad Kebangsaan B-19 dipanggil oleh jurulatih, Brad Maloney menyertai pemilihan fasa pertama mewakili negara menghadapi Pusingan Akhir Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Uzbekistan Oktober ini.

Pemain-pemain muda tampak bertenaga dan bersemangat pada pemilihan hari ini yang diadakan di Wisma FAM.

Aksi pemain Skuad Bawah-19 Tahun Negara (B-19) sewaktu menjalani kem latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 10 JULAI 2020.

Antara aset utama adalah Wan Ahmad Kuzri, adik kepada Wan Kuzain, pemain Akademi Bola Sepak St Louis, Amerika Syarikat namun beliau masih dalam tempoh kuarantin.

Selain itu, Muhammad Adam Nadzmi, pemain akademi Bisp Cruzeiro Football Academy juga menjadi taruhan.

Pemain Skuad Bawah-19 Tahun Negara (B-19), Muhammad Adam Nadzmi Zamri bercakap kepada media pada kem latihan pusat skuad B-19 di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 10 JULAI 2020.

Ketika ditemui, Muhammad Adam menyatakan rasa terujanya dipanggil menyertai pemilihan fasa pertama.

“Saya sangat teruja dan gembira dan ini baru pertama kali dipanggil ke pemilihan fasa pertama, saya akan buat yang terbaik,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Namun, menurutnya, daripada segi SOP (Prosedur Operasi Standard) ia agak mengganggu fokusnya kerana tidak dibenarkan melibatkan sentuhan fizikal.

“Jadi SOP telah mengekang sedikit untuk kekal berada dalam prestasi maksimum” katanya.

Beliau juga mengakui dalam pemilihan fasa pertama, ramai pemain lain yang bagus dari liga-liga lain dan ia menyebabkan persaingan yang tinggi.

Sementara itu, menurut Maloney, setakat ini, ramai yang menunjukkan prestasi yang positif dan beliau terkejut dengan kecergasan yang sangat memberangsangkan daripada pemain muda.

Jurulatih Skuad Bawah-19 Tahun Negara (B-19), Brad Maloney memerhatikan skuad kendaliannya pada kem latihan pusat skuad B-19 di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 10 JULAI 2020.

“Pemain-pemain muda ini telah dikenalpasti menerusi permainan di liga masing-masing beberapa bulan lepas sebelum pemilihan ini,” ujarnya lagi.

Jurulatih warga Australia itu juga gembira dengan pembukaan semula sektor sukan dan rekreasi di negara ini.

“Inilah yang ditunggu-tunggu dan saya harap kita dapat jalankan latihan seperti dahulu ataupun mungkin dapat mengadakan perlawanan latihan.

“Sehingga ada perubahan arahan lain dari Pihak AFC, kita akan tetap dengan pelan asal dan berlatih seperti biasa sehingga hari perlawanan berlangsung” kata Maloney-MalaysiaGazette