A Aida.

KUALA LUMPUR – Penerbit terkenal, Datuk A. Aida bersyukur dengan keputusan Mahkamah Majistret Ampang yang menjatuhkan hukuman denda RM17,000 atau penjara 26 bulan kepada pelakon, Mas Khan.

Menurut A. Aida, 50, keputusan tersebut wajar dijadikan pengajaran kepada si pelaku yang mencuri wallet mata wang kripto bernilai RM213,805 atau sesiapa saja terbabit kesalahan sama.

“Saya bersyukur dengan keputusan mahkamah, dan berterima kasih kepada PDRM kerana berjaya menyelesaikan kes ini.

“Saya juga berharap ia menjadi pengajaran kepada semua orang bahawa negara kita mempunyai undang-undang.

“Sesiapa sahaja yang berbuat perkara yang menyalahi undang-undang negara pasti akan menerima hukuman, cepat ataupun lambat.

“Saya harap juga ini menjadi pengajaran kepada Mas Khan sendiri yang sebelum ini saya pernah anggap sebagai adik saya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

A Aida.

A. Aida menambah, sebagai orang Islam, dia tidak sesekali berdendam tetapi dalam masa yang sama berharap Mas Khan insaf kerana dia masih muda dan punya masa depan yang panjang.

“Dan Insya-Allah, tidak ada masalah untuk saya mengambil beliau bekerja di bawah produksi A. Aida Production selepas ini.

“Dalam masa yang sama, atas nasihat peguam, saya akan teruskan dengan saman sivil terhadap beliau selepas ini.

“Ia akan dibuat melalui lawyer yang telah pun saya lantik iaitu Zulkifli Yong Azmi & Co untuk menuntut keseluruhan jumlah yang dicuri tersebut dan juga ganti rugi teladan faedah serta kos tindakan di mahkamah,” katanya.

Kelmarin, Majistret Farah Nasihah Annuar menjatuhkan hukuman itu terhadap Mas Khan atau nama sebenarnya Mas Hidzir Khan Mas Fadzillah Khan selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah semasa sebutan kali ketiga kes itu.

Bagi pertuduhan pertama, pelakon terbabit didenda RM7,000 atau penjara 12 bulan manakala denda RM10,000 atau penjara 14 bulan untuk kesalahan kedua.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa mencuri wallet yang merupakan mata wang kripto milik A Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang tanpa izin bernilai RM59,804.15 dan RM154,000.85 di Taman Ukay Perdana, Ampang, di Kuala Lumpur, pukul 5 pagi pada 7 Mac tahun lalu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mas Khan mengaku salah curi mata wang kripto A. Aida