Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad.

SHAH ALAM – Apakah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad dan parti Warisan yang telah mengisytiharkan keluar Pakatan Harapan Plus (PH Plus) akan menggunakan logo sendiri sekiranya berlaku Pilihan Raya Umum (PRU) secara mengejut?

Persoalan itu timbul selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membuat keputusan untuk berada dalam blok bebas, bukan lagi terikat dengan PH Plus.

Namun, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad ketika ditanya mengenainya berkata, kalau berlaku PRU, soal kerjasama adalah perkara yang pernah diamalkan walaupun tidak semestinya semua parti duduk dalam satu gabungan menggunakan logo sama.

Namun, katanya, PH belum memanggil mana-mana parti gabungan itu untuk berbincang mengenai penggunaan logo oleh parti blok bebas pada PRU15 ini.

“Tak tau lagi, kita belum bincang lagi tetapi kalau PRU berlaku, soal kerjasama itu adalah perkara yang pernah diamalkan dan tidak semestinya semua (parti) duduk dalam satu gabungan menggunakan logo yang sama,” katanya.

Beliau menjelaskan, walaupun Mahathir dan Warisan tidak berada dalam PH Plus, mereka masih kekal dengan pendirian menentang kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mengenai retreat dua hari itu, katanya, mereka banyak membincangkan strategi ke arah menyelaras dan bersiap sedia sekiranya berlaku pilihan raya mengejut.

“Retreat hari ini hasil daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19 yang berpanjangan, menyebabkan kita tidak dapat bertemu sekerap biasa.

“Apabila sudah memasuki fasa pemulihan, inilah peluang keemasan kita untuk menjelaskan keadaan politik semasa khususnya kenyataan Majlis Presiden PH yang telah menimbulkan banyak persoalan, supaya dapat diselaraskan pemahanamannya berhubung suasana politik.

“Selain itu, persoalan PRU secara mengejut juga satu kemungkinan akan berlaku, maka kita kena bersiap sedia dan dapatkan maklum balas daripada pimpinan nasional mengenai usaha untuk kita hadapinya,” katanya. – MalaysiaGazette