Haniza Talha

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha reda dengan pelucutan jawatannya sebagai Exco  Negeri Selangor.

Malah beliau sebenarnya sudah menjangka ia berlaku cuma tidak dapat mengagak dengan tepat bila surat rasmi pelucutan itu sampai ke tangannya.

Haniza juga telah mengirimkan salinan surat itu kepada MalaysiaGazette hari ini sambil melahirkan rasa penghargaan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Saya telah jangka tentang surat ini tapi tidak tahu bila sahaja. Semalam saya terima surat sekitar lewat petang.

“Saya cuma berharap bakal exco yang memegang portfolio saya iaitu Perumahan dan Kehidupan Bandar boleh melakukan amanah itu dengan lebih baik pastinya dengan meletakan kepentingan rakyat di hadapan anda.

“Saya juga tahu penamatan jawatan exco ini kerana PKR sudah memecat saya dan kini saya ADUN bebas, tidak apalah. Banyak juga yang telah saya belajar dan tidak akan berhenti berdoa Selangor menjadi sebuah negeri makmur dan pimpinannya menjaga kebajikan rakyat,” katanya lagi.

Semalam Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang diadakan pada Rabu lalu.

“Hari ini adalah hari terakhir Yang Berhormat, Haniza Mohamed Talha berkhidmat sebagai ahli MMKN Selangor dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar.

“MMKN bermesyuarat pada Rabu lalu berkenaan status bersesuaian dengan keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkenaan pelucutan keanggotaan beliau,” katanya.

Amirudin mendedahkan Beliau berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga memberi perkenan berkenaan hal itu dalam majlis sembah maklum yang diadakan semalam.

Justeru itu, katanya, portfolio (Perumahan dan Kehidupan Bandar) akan dipangku beliau dan sebarang program berkaitan portfolio itu turut ditangguhkan buat sementara waktu sehingga dimaklumkan kelak.

Pada 29 Jun lalu, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dalam mesyuarat bulanannya bersetuju dengan syor Lembaga Disiplin untuk melucutkan keanggotaan lima ahlinya termasuk Haniza.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Ahmad Kassim menjelaskan, empat yang lain ialah Timbalan Ketua Cabang Permatang Pauh Dr Afif Bahardin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh Zulkifli Ibrahim; Ketua Wanita PKR Sabah Rahimah Majid; dan Ketua Wanita PKR Pulau Pinang Nur Zarina Zakaria. –MalaysiaGazette

1 Komen

  1. tak pa YB ..rezeki kedudukan dah setakat tu…YB di position exco pun bawah bendera PKR…dah bukan ahli mereka lagi…patutnya YB undur sebelum di suruh….perjalanan masig panjang…politik malaysia sekarang yg x di duga boleh terjadi…PKR pun dah bercelaru..tak tahu apa hala tuju sebenarnya..peel sebijik macam “warlord” group dalam umno…

Comments are closed.