Dr Masliza Mahmod yang berasal dari Batu Pahat, Johor kini menganggotai Jawatankuasa Pemandu Pasukan Petugas Penyelidikan Kegagalan Jantung British Society of Cardiovascular Magnetic Resonance (BSCMR). (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR – Dr Masliza Mahmod melakar sejarah sebagai wanita pertama Malaysia yang dinaikkan pangkat sebagai profesor madya bagi perubatan kardiovaskular di Universiti Oxford, United Kingdom baru-baru ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengucapkan tahniah kepada Masliza atas kenaikan pangkat itu serta mengakui kebijaksanaan dan pencapaian hebat beliau sebagai pakar kardiologi.

“Beliau sememangnya seorang pakar kardiologi yang bijak dan meskipun berdepan pelbagai kesulitan serta cabaran, ketabahan dan minat mendalamnya dalam penyelidikan klinikal menjadikan beliau seorang pakar kardiologi akademik yang ulung.

“Tiada apa yang boleh menghalang beliau untuk terus melangkah ke tahap lebih tinggi. Kita amat berbangga dengan pencapaian beliau… ,” katanya di Facebook.

Menurut Jabatan Perubatan Radcliffe di Universiti Oxford, penyelidikan Masliza memfokus kepada penggunaan pengimejan resonans magnetik kardiovaskular (CMR), teknik spektroskopi bagi pengesanan awal kelainan jantung serta mencari rawatan baru untuk pesakit kardiomiopati, kegagalan jantung, penyakit injap aorta dan diabetes mellitus.

Doktor berusia 47 tahun dari Batu Pahat, Johor itu kini menganggotai Jawatankuasa Pemandu Pasukan Petugas Penyelidikan Kegagalan Jantung British Society of Cardiovascular Magnetic Resonance (BSCMR).

Ahli Royal College of Physicians (MRCP) dari London itu memiliki Ijazah Sarjana Perubatan Dalaman (MMed) dari Malaysia dan ijazah perubatan awal (MBChB) dari Universiti Otago, New Zealand.- BERNAMA