Muhammad Faiz Hariry atau Favlain (kanan).

KUALA LUMPUR – Muhammad Faiz Hariry atau Favlain yang mewakili Terengganu FC muncul juara Kejohanan eMalaysian Football League (eMFL) selepas berjaya mengumpul jumlah mata tertinggi dalam 22 perlawanan secara keseluruhan.

Dalam dua perlawanan terakhir yang berlangsung semalam, Favlain tidak tewas apabila memperoleh satu kemenangan dan satu seri untuk mengumpul 42 mata secara keseluruhan.

Pencabar terdekatnya iaitu Muhammad Imran Burhanudeen atau Imrandeen (Kedah) dan Luqman Haziq Hajiman (Johor Darul Ta’zim) pula gagal memintas kedudukan pendahulu milik Favlain.

Luqman yang pada mulanya berada di takhta liga nampaknya terpaksa berpuas hati di tempat ketiga apabila memperoleh keputusan seri dalam dua perlawanan terakhir ini manakala Imrandeen di tempat kedua apabila mencatat satu kemenangan.

Pemain berusia 22 tahun itu pada mulanya tidak menjangka dapat memenangi kejohanan ini kerana sedar dia tidak bermula dengan agak baik pada awal kejohanan sehinggalah berjaya untuk terus perbaiki kedudukan sehingga ke hari terakhir perlawanan.

Namun, Favlain tetap menyifatkan saingan eMFL ini begitu mencabar untuknya kerana setiap pemain mempamerkan aksi yang sukar dijangka dan sesiapa sahaja mampu untuk melakar kejutan walaupun pemain itu berada di kedudukan tercorot sekali pun.

“Memang saya tak sangka langsung dapat menang kejohanan ini kerana kalau nak ikutkan pasukan yang saya main, tidak sehebat pasukan-pasukan pemain lain.

“Tetapi, apabila saya berjaya untuk berada di kelompok empat terbaik pada pertengahan musim, saya rasa inilah peluang saya untuk terus bekerja keras mengumpul mata sehinggalah ke hari-hari terakhir perlawanan.

“Pencabar-pencabar lain juga cukup sengit dan setiap perlawanan memang bukan mudah untuk saya harungi.

“Saya nak tujukan kejuaraan ini kepada keluarga, rakan-rakan, khususnya penyokong-penyokong Terengganu yang sokong saya sepanjang kejohanan ini dan cukup berbangga dapat bagi kejayaan ini kepada pasukan Terengganu FC”, katanya.

Kali pertama kejohanan e-sukan di bawah penganjuran MFL dengan kerjasama Gamesbond Esports Sdn Bhd diadakan adalah saingan ePiala Malaysia pada tahun lalu menyaksikan Terengganu FC yang diwakili Luqman muncul juara.

Dan Terengganu FC sekali lagi muncul juara di kejohanan sulung eMFL kali ini menerusi penyertaan Favlain. – MalaysiaGazette