Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kedudukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan terjejas meskipun usul supaya Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof menamatkan perkhidmatannya sebagai Speaker Dewan Rakyat tidak berjaya.

Penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusoff menjelaskan, tiada undang-undang yang boleh mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan sekiranya usul yang dibawanya tidak berjaya.

“Usul kedua dijangka akan hangat kerana parti-parti pembangkang pastilah akan mempersoalkan kewajaran untuk menukar Tan Sri Datuk Mohamad Ariff Md Yusof di pertengahan penggal tatkala beliau dikatakan mempunyai prestasi cemerlang dan tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“Sekiranya usul kedua tidak diluluskan sekalipun, kedudukan Tan Sri Muhyiddin dan kerajaan PN pimpinan beliau tidak akan terjejas kerana tiada di dalam mana-mana undang-undang yang menghendaki Perdana Menteri meletakkan jawatan jika usul beliau dikalahkan, malah di Malaysia sendiri pun pernah pada 9 April 2019 usul kerajaan untuk meminda Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan membabitkan kedudukan Sabah dan Sarawak gagal tetapi tidak memberikan apa-apa implikasi kepada kedudukan Tun Dr. Mahathir (Mohamad) dan kerajaan Pakatan Harapan pimpinan beliau,” katanya menerusi kenyataan.

Bagaimanapun, usul untuk melantik Datuk Azhar Azizan Harun sebagai pengganti Mohamad Ariff pula dijangka berhadapan kesukaran apabila sebelum ini beberapa Ahli Parlimen Muafakat Nasional tampil mempertikaikan kelayakan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu kerana latar belakangnya yang merupakan lantikan bekas Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada masa sama, parti pembangkang termasuk blok bebas dalam kalangan kem Dr Mahathir juga akan mengemukakan calon mereka untuk menjadi Speaker Dewan Rakyat.

“Sekiranya usul kedua lulus, parti-parti pembangkang juga dijangka cuba menonjolkan nama calon mereka sendiri sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat bagi menyaingi nama Datuk Azhar.

“Menariknya, walaupun kem Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kem Warisan (Parti Warisan Sabah) kini telah membentuk blok bebas yang berasingan dari blok PH, mereka kelihatan masih sekata dalam isu pengekalan dan pencalonan baru Yang di-Pertua Dewan Rakyat ini.

“Terdapat kebimbangan bahawa ada Ahli Parlimen tertentu dari Muafakat Nasional yang akan sama ada tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat atau menentang mahupun berkecuali di dalam usul kedua,”tambahnya.

Namun menurut beliau, sekalipun usul ini menemui kegagalan tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana Perdana Menteri boleh mencadangkan nama baru yang boleh dipersetujui oleh semua Ahli Parlimen Muafakat Nasional untuk undian seterusnya.

Barisan Nasional (BN) hari ini menyatakan kesepakatan akan hadir pada persidangan Dewan Rakyat esok dan menyokong usul yang akan dibawa bagi menggantikan Speaker Dewan Rakyat.

Untuk rekod, usul agar Mohamad Ariff menamatkan perkhidmatannya dibawa oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut dikemukakan usul untuk menamatkan perkhidmatan ialah Timbalan Speaker Nga Kor Ming.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Memang elok bagus bebenar betullah YDPDR dan TYDPDR patut mesti ditukar digantikan yang baru kerana kena ikut trend kerajaan yang memerintah. Manamana kerajaan yang memerintah beginilah kelaziman keadaannya kena selari sehala setuju sekata.

Comments are closed.