Ole Gunnar Solksjaer (kanan) dan Romelu Lukaku.

LONDON – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui ia sama sekali tidak menyesal melepaskan penyerang Romelu Lukaku pada awal musim ini.

Solskjaer memutuskan untuk menjual Lukaku dan penyerang dari Belgium itu telah diberi lampu hijau untuk memulakan cabaran barunya di Itali bersama Inter Milan.

Di sana, Lukaku kelihatan penyerang berbisa dan telah menyumbang sebanyak 26 gol dan lima bantu untuk Nerrazurri sepanjang musim.

Meskipun Lukaku menunjukan aksi cemerlang bersama Inter, Solskjaer mendedahkan dia membuat keputusan tepat melepaskan Lukaku.

“Kami telah bertekad untuk membuat keputusan musim panas lalu dan pada Januari lalu untuk membawa beberapa pemain baru dan membiarkan beberapa pemain pergi,” kata Solskjaer seperti dilaporkan oleh Manchester Evening News.

Pengurus kelahiran Morway itu berkata, pertimbangan telah dibuat dengan pemergian Lukaku kerana United kini berjaya mengasah beberapa penyerang muda mereka seperti Anthony Martial dan Mason Greenwood.

“Saya rasa keputusan yang telah kita buat adalah keputusan yang tepat dan keputusan itu adalah keputusan terbaik untuk kelab.

“Dengan pemergian beberapa pemain yang telah menjadi pemain penting buat kami, kami dapat memberi peluang kepada pemain muda kami dan memberi mereka keyakinan.”

Keputusan Solskjaer itu telah memberi peluang kepada Marcus Rashford, Greenwood dan  Martial membuktikan kemampuan mereka kerana kerana ketiga penyerang muda itu telah mengumpulkan 56 gol untuk United musim ini. – MalaysiaGazette