Foto Instagram Sharifah Sakinah.

KUALA LUMPUR – Pelakon Sharifah Sakinah  menjelaskan bahawa dia tidak akan bercerita lanjut tentang perpisahannya selepas mengumumkan penceraian dengan suaminya, Aliff Adha yang merupakan seorang juruterbang.

Namun wanita berusia 31 tahun itu mengucapkan terima kasih kepada peminat yang menyokong atau pun menghinanya.

“Saya mungkin berdiam diri dan tidak menjawab mesej yang dihantar kepada saya.

“Terima kasih kepada yang menyokong saya dan yang menghina saya. Cuma beringatlah yang anda juga ada keluarga,” tulis di Instagram miliknya.

Sakinah berkata, dia mahu menumpukan perhatian terhadap kerjayanya dan enggan menjadikan penceraiannya sebagai satu kontroversi.

Ibu kepada seorang anak perempuan itu turut meminta netizen yang tidak menyukai pilihan hidup atau perbuatannya untuk berhenti mengikuti akaun Instagramnya.

Pelakon Girlfriend Aku Dari Neraka ini turut meminta pengikutnya agar tidak bertengkar di ruangan komen entri tersebut.

“Saya takkan menjadikan bahagian hidup saya yang ini sebagai drama, saya takkan panjangkan cerita dan mahu fokus kepada kerjaya saya.

“Jika ada sesiapa yang mempunyai masalah dengan pilihan hidup saya, pakaian, atau perbuatan saya boleh unfollow akaun ini.

“Silakan komen, tapi cuba untuk tidak bergaduh sesama sendiri, kita semua ada perkara lebih penting untuk dilakukan hari ini,” ujarnya.

Spekulasi mengenai hubungan Sakinah dan Aliff terjawab selepas aktres itu mengesahkan hubungan mereka sudah berakhir sejak Mei lalu.

Pasangan itu berkahwin pada 28 Mac 2015 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Anais Adha yang berusia tiga tahun. – MalaysiaGazette