Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas hadir ke taklimat Ahli Parlimen sempena Pra Persidangan Parlimen di Saujana Hotel, Shah Alam. foto MOHD ADZLAN, 12 JULAI 2020.

SUBANG – Pakatan Harapan (PH) menjangkakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sukar dicapai sehingga tamat persidangan Dewan Rakyat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usul Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir sukar untuk diluluskan bagi dibahaskan kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan mengutamakan usul berkaitan kerajaan terlebih dahulu.

“Usul (Ahli Parlimen) Langkawi itu seperti mana kita tahu proses peraturan Parlimen. Itu isu yang mengangkut urusan kerajaan itu akan didahulukan.

“Jadi oleh itu di akhir persidangan, agak sukar kita anggap perbahasan akan diadakan,” katanya selepas menghadiri taklimat Ahli Parlimen sempena Pra Persidangan Parlimen di Saujana Hotel, hari ini.

Pada Mac lalu, Anwar berkata, usul itu akan dibawa secepat mungkin oleh Ahli Parlimen PH.

Usul Dr. Mahathir untuk mengadakan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin dikemukakan pada 4 Mei lalu di bawah Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3).

Berdasarkan kepada Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat esok, usul itu berada di tangga ke-27.

Usul utama esok antaranya akan membentangkan usul yang dibawa Muhyiddin untuk menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan Nga Kor Ming sebagai Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Dalam pada itu PH sebulat suara suara menolak usul yang Muhyiddin itu.

Jelas Anwar, ini jelas merupakan tindakan luar kebiasaan amalan Parlimen.

“Kita dalam PH dan rakan-rakan dalam pembangkang tetap pertahankan Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat kerana ini prinsip. Ia belum pernah berlaku sejarah negara, pelantikan berlaku sebab ada kekosongan atau seseorang Speaker berundur.

“Saya harap majoriti akan menerima ketetapan ini dan mempertahankan Speaker. Berdasarkan kepada prestasi mereka saya yakin Ahli-ahli Parlimen akan membuat keputusan yang jelas.

Untuk rekod, ini adalah kali pertama Perdana Menteri mencadangkan untuk menyingkirkan Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette

4 Komen

  1. Elok speaker dewan dilantik bukan dari kalangan ahli parlimen / ahli politik agar keputusan dibuat adil dan jujur berlandaskan fakta kerana tidak menyebelahi mana mana parti politik. Speaker dewan yg ada sekarang lebih menyebalahi kepada parti yg diwakilinya, sebab itu berlaku ketidak jujuran dalam membuat keputusan.

Comments are closed.