Sokongan Ahli Parlimen kepada Muhyiddin semakin tipis, meletakkan kerajaan dalam keadaan tergantung.

KUALA LUMPUR – Kejayaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melepasi usul mengosongkan kerusi Speaker Dewan Rakyat menggambarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima sokongan yang cukup daripada Ahli Parlimen.

Ia juga membuktikan kerajaan PN juga mendapat sokongan yang cukup untuk mentadbir, kata pakar perlembagaan yang juga Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof.

Meskipun sebelum ini wujud pertikaian terhadap pemilihan Muhyiddin, namun keputusan hari ini sepatutnya membuka mata pembangkang tentang kedudukan Perdana Menteri itu dan PN.

“Kemampuan kerajaan Perikatan Nasional melepasi ujian kelulusan usul pengosongan kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah satu gambaran berkaitan tahap sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Mohd Yasin. Dapat disimpulkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional mempunyai cukup sokongan untuk terus mentadbir.

“Selama ini kerajaan Perikatan Nasional dituduh sebagai kerajaan yang tidak mempunyai keabsahan, kononnya kerana tidak mempunyai sokongan majoriti. Hakikatnya kerajaan Perikatan Nasional mempunyai keabsahan sejak dari awal.

“Yang Dipertuan Aging (YDPA) mempunyai budi bicara di bawah Perlembagaan untuk memilih Perdana Menteri yang pada hemat baginda mempunyai kepercayaan majoriti anggota Dewan Rakyat. Pemilihan YDPA tidak boleh dipertikaikan dan tidak perlu melalui undian di Dewan Rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Namun, menurut Muhammad Fathi, prinsip perlembagaan tetap tidak diendahkan oleh sesetengah pihak yang gemar mempersoalkan keabsahan kerajaan yang dipilih oleh YDPA.

Ujar beliau, kelulusan usul daripada kerajaan pada hari ini akan dapat menutup mulut mereka.

Dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini, kerajaan PN memenangi usul untuk menggugurkan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof sebagai Speaker Dewan Rakyat.

Usul berkenaan berjaya selepas 111 Ahli Parlimen menyokong usul yang dibawa Muhyiddin.

Seramai 109 Ahli Parlimen pembangkang menyokong tidak setuju dengan usul berkenaan, manakala Ahli Parlimen, Kota Marudu, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili tidak mengundi.

Mengulas lanjut, Muhammad Fathi tidak menolak jumlah undian hari ini menunjukkan sokongan terhadap PN sangat nipis.

Justeru kerajaan perlu melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat sebaik mungkin.

“Cuma persoalan yang timbul ialah dari sudut tahap sokongan yang sangat nipis. Dalam hal ini, kerajaan PN mempunyai tanggungjawab besar untuk melaksanakan tugas dengan cara yang terbaik demi kebaikan rakyat agar sokongan rakyat dapat mendorong ahli-ahli Parlimen memberikan kepercayaan yang padu kepada kerajaan,” jelasnya.

Katanya, pembangkang boleh menggunakan jumlah undian hari ini sebagai  kekuatan untuk melaksanakan semak dan imbang kepada kerajaan, kerana cara ini pada akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat.

“Dari perspektif yang lain pula, kekuatan yang ada pada pembangkang dari sudut bilangan kerusi Parlimen boleh meningkatkan budaya ‘semak dan imbang’ demi untuk kebaikan rakyat. Adalah diharapkan tidak berlaku usaha untuk membeli wakil rakyat demi untuk kepentingan politik sempit,” tambah beliau. – MalaysiaGazette