kerajaan harus menerima hakikat banyak lagi yang perlu dilakukan untuk membasmi kemiskinan termasuk menambah peruntukan bantuan bersasar dan juga semakan gaji minimum.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR –┬áPenganalisis ekonomi, Dr Ahmed Razman Abdul Latif menganggap semakan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) keseluruhan nasional kepada RM2,208 adalah wajar.

Ini kerana kadar RM980 sebelum ini terlalu rendah dan seolah-olah ingin menafikan realiti kesusahan hidup rakyat yang miskin di negara ini.

Katanya, sekurang-kurangnya nilai PGK yang baru itu akan membuka mata kerajaan untuk menggubal semula polisi dan dasar bagi membantu rakyat miskin di negara ini.

“Saya juga berharap PGK ini diperincikan mengikut negeri, daerah dan juga bandar atau luar bandar kerana situasi semasa menunjukkan ramai penduduk bandar termasuk dalam kategori miskin bandar.

“Oleh kerana Melayu semakin ramai duduk di bantar, ramai juga di antara mereka sebenarnya dikategorikan sebagai miskin bandar.

“Saya juga berpendapat semakan kadar PGK harus dilakukan setiap tahun dan diperincikan mengikut negeri, daerah dan bandar atau luar bandar supaya bantuan yang ingin diberikan lebih berfokus,” katanya hari ini.

Dr Ahmed Razman Abdul Latif

Tambah Ahmed Razman, lokaliti perlu dilihat terlebih dahulu kerana di sesetengah tempat, purata perbelanjaan isi rumahnya memang tinggi seperti di Kuala Lumpur dan Selangor.

Beliau mengulas laporan Jabatan Perangkaan iaitu PGK telah disemak kepada RM2,208 berdasarkan pengiraan yang dibuat mengikut metodologi pada 2019.

Beliau juga mencadangkan mekanisme kemiskinan relatif sebagai PGK yang baharu iaitu separuh daripada median pendapatan isi rumah bersamaan RM2,940.

Mengikut metodologi berkenaan, garis kemiskinan ditentu berdasarkan faktor fizikal.

Contohnya, isi pendapatan rumah sahaja tanpa mengambil kira faktor lain yang juga memberi kesan kepada status pendapatan, kemiskinan dan gaji minima seseorang.

Sebelum itu, PGK dikira berdasarkan metodologi pada tahun 2005 yang menjadikan penanda aras kemiskinan pada RM980 berdasarkan keperluan asas untuk isi rumah hidup sihat dan aktif.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan harus menerima hakikat banyak lagi yang perlu dilakukan untuk membasmi kemiskinan termasuk menambah peruntukan bantuan bersasar dan juga semakan gaji minimum.

“Kenaikan perbelanjaan untuk membasmi kemiskinan ini boleh ditampung dengan memperkenalkan cukai baharu seperti cukai pusaka dan cukai modal tambahan yang biasanya ditumpukan kepada golongan T20.

“Kenaikan kadar cukai pendapatan untuk golongan T20 dan cukai syarikat boleh dipertimbangkan kerana masih ada lagi ruang untuk kenaikan kadar tersebut,” katanya lagi.- MalaysiaGazette