Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail
Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail

SHAH ALAM – Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) kecoh seketika apabila Ketua Pembangkang, Rizam Ismail bertanya apa kriteria dimiliki syarikat Artificial Intelligence (AI) sehingga diberi kuasa untuk mengendalikan inisiatif Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tawar dari Barisan Nasional (BN) bertanya, adakah syarikat AI itu dimaksudkan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim?

Pertanyaan itu dibantah beberapa ADUN kerajaan termasuk yang paling lantang meminta Rizam menarik balik tuduhan itu ialah ADUN Taman Templer, Mohd Sani Hamzan.

“Tanya pun tak boleh? Saya tanya sahaja. Kalau tak betul, jawab saja tak betul. AI itu adakah merujuk kepada nama Anwar Ibrahim?,” tanya Rizam.

Beliau melontarkan pertanyaan itu ketika mengambil bahagian membahas usul Pakej Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor pada persidangan Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor ke-14, hari ini.

Rizam berkata, kalau tidak betul dengan pertanyaan itu, beliau menarik balik.

Inisiatif SELangkah diwujudkan kerajaan Selangor bagi memastikan kesiapsiagaan entity perniagaan dan industri sepanjang aktiviti perniagaan berlangsung dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ia merupakan sistem keluar masuk automatik di premis perniagaan dengan menggunakan teknologi Kod QR yang ringkas dan diwujudkan sejajar dengan seruan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Mei lalu, yang menggesa agar peniaga mendaftar rekod kehadiran pengunjung ke premis mereka.

Namun, kewibawaan AI itu dipersoalkan oleh pihak pembangkang kerana menganggap syarikat berkenaan sebagai tidak layak. – MalaysiaGazette