Russidi, 43, warganegara Malaysia yang kehilangan tempat tinggal ekoran tiada pekerjaan setelah pekerjaannya sebagai pengendali kren menara dimonopoli oleh warga asing.

KUALA LUMPUR – Kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan.

Itu peribahasa Melayu bagi menggambarkan nasib Russidi Alias gara-gara hilang pekerjaan apabila industri pembinaan kini dimonopoli oleh warga asing khususnya dalam kerja berkemahiran tinggi mengakibatkan sebahagian besar rakyat tempatan hilang mata pencarian.

Russidi, 43, warganegara Malaysia yang kehilangan tempat tinggal ekoran tiada pekerjaan setelah pekerjaannya sebagai pengendali kren menara dimonopoli oleh warga asing.

Begitulah juga pekerjaan seperti juru tanda dan juru ikat yang dimonopoli 95 peratus oleh warga asing yang hanya lima peratus sahaja orang tempatan.

Russidi kini menetap di sebuah bangsal serba daif di tengah-tengah penempatan masyarakat di Kampung Kok Mak, Padang Besar, Perlis.

Tempat tinggal Russidi itu kira-kira lima kilometer dari sempadan Malaysia- Thailand.

DAIF. Beginilah keadaan bangsal yang didiami Russidi Alias di Padang Besar, Perlis.

Tinjauan Presiden Persatuan Pekerja Mahir Kren Menara Malaysia (PERKERMA), Radzi Abd Rahman ke tempat tinggal Russidi semalam amat mengejutkan pihaknya.

 

Katanya, ini adalah contoh yang bakal terjadi kepada rakyat tempatan sekiranya hak kita terhakis dek kerana memberi keutamaan kepada warga asing.

“Mungkin lebih ramai lagi di luar sana yang kita tidak tahu dan menerima nasib serupa setelah berlaku penggangguran yang dahsyat khususnya di bidang ini.

“Pihak saya akan membawa kes ini kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan BaitulMal dan Ahli Dewan Undangan Titi Tinggi.

“Russidi tidak memiliki keluarga, anak tunggal yang sudah kehilangan kedua ibu bapa sejak tahun 2001 dan terputus hubungan daripada ahli keluarga yang lain.

“Di bawah keprihatinan kerajaan kita berharap ada sinar menanti buat Russidi,” katanya.

Dalam pada itu, Russsidi ketika dihubungi mendakwa beliau menghidap kanser darah sejak Perintah Kawalan Pergerakkan pada 18 Mac lalu.

“Saya mahu mengelak daripada rawatan kimoterapi kerana bimbang kesannya yang lebih teruk, jadi saya mengambil inisiatif melakukan rawatan tradisional.

“Rawatan itu mengambil kos RM68 sekali rawatan dan nampak ada perubahan yang baik seperti ada selera makan.

“Saya sudah kehilangan pekerjaan, jadi hanya bergantung kepada peruntukan RM500 sebulan dari Kumpulan Wang Simpan Pekerja yang dibenarkan keluar oleh kerajaan.

“Bangsal ini dibina oleh penduduk setempat atas dasar keprihatinan mereka buat saya berteduh di sini sejak enam bulan lalu,” katanya.

Beliau sebelum ini menyewa di sebuah rumah di Pulau Pinang bagaimanapun akibat ketiadaan wang, beliau berpindah ke kampung itu sejak awal tahun ini.

Akibat masalah kesihatan beliau sukar untuk mendapatkan pekerjaan lain sebagai sumber mencari rezeki.

Orang ramai yang berminat untuk menyumbang boleh memberi terus sumbangan ke bank Hong Leong nombor akaun 30751034796 atas nama Russidi Alias.- MalaysiaGazette