Amirudin Shari

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan dakwaan bekas anggota Exco kerajaan, Haniza Mohamed Talha tidak dapat masuk ke pejabat untuk mengambil barangnya sebagai mainan untuk menagih simpati.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, pihaknya telah memberi masa mencukupi kepada pegawai ADUN Lembah Jaya itu termasuk menetapkan hari Isnin untuk memasuki pejabat berkenaan mengambil barang.

Bagaimanapun, katanya, pegawai Haniza itu datang pada hari Sabtu iaitu hari cuti dan tidak ada pegawai di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bekerja.

Namun, katanya, usaha merantai dan mengunci pintu pejabat Exco selepas tarikh ditetapkan tamat, adalah proses biasa setiap kali berlaku pengosongan.

“Apabila seseorang anggota Exco meletak jawatan, maka akan berlaku pengosongan, dan kita membenarkan pegawai mereka datang untuk mengambil barang.

“Tetapi pegawai tersebut harus mengisi borang tertentu menyenaraikan barang apa yang perlu dibawa keluar dan akan diiringi pegawai dari SUK kerana sebahagian aset dalam unit atau pejabat itu adalah milik kerajaan negeri.

“Kita mengambil langkah itu juga kerana tidak mahu dokumen rahsia kerajaan yang ada dalam pejabat berkenaan tersebar keluar atau disalah gunakan,” katanya kepada media mengulas rungutan Haniza berhubung tindakan kerajaan negeri mengunci pejabatnya di sini hari ini.

Haniza yang merupakan bekas Ketua Wanita Keadilan Pusat dilucutkan keahlian oleh Lembaga Disiplin PKR pada 30 Jun lalu, sekali gus jawatan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar negeri yang dipegangnya juga turut terlucut.

Baru-baru ini, Haniza menyatakan rasa terkejut apabila dimaklumkan pejabatnya sudah dipasang rantai dan mangga pintu ketika pegawai beliau tiba untuk mengambil beberapa barang.

Pejabat beliau di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dikatakan dipasang mangga selepas diberikan notis pengosongan jawatan yang diumumkan Amirudin sebelum ini.

Menurut Amirudin, tidak ada perkara hendak dijadikan isu kerana mengunci pejabat Exco adalah proses biasa.

“Mereka nak jadikan isu juga nak buat macam mana, tak apalah. Saya anggap tak apalah. Itu mainan untuk menagih simpati,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pejabat Haniza Talha dikunci