Tapak pelupusan sampah haram yang tumbuh bagai cendawan lepas hujan menghantui rakyat Selangor.

SHAH ALAM – Aktiviti membuang sampah di tapak pelupusan sampah haram di Selangor masih serius tanpa kawalan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang (PKR), Azmizam Zaman Huri ketika mendedahkan perkara itu berkata, kegiatan itu secara tidak langsung memberi kesan pencemaran sungai dan longkang.

Malah, katanya, ada kontena yang memuatkan sampah menjadikan tapak pelupusan haram ini untuk membuang sisa yang mungkin ada darinya membahayakan nyawa penduduk sekitar.

“Masih banyak tapak pelupusan sampah haram tidak diambil tindakan untuk ditutup atau dijadikan kawasan larang.

“Saya dapati aktiviti pembuangan sampah di tapak pelupusan haram ini banyak beroperasi dan boleh mencemarkan air dalam sungai serta longkang.

“Kenapa tindakan tidak diambil. Aktiviti ini turut dikesan berlaku di tapak pelupusan haram di tanah kerajaan,” katanya pada Mesyuarat Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor ke-14 di sini, hari ini.

Ng Sze Han

Menjawab soalan itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri, Ng Sze Han berkata, kerajaan negeri tidak menafikan masih ada aktiviti di tanah kerajaan yang dijadikan tapak pelupusan sampah haram.

Ujar beliau, perbuatan itu dipercayai dilakukan secara sindiket oleh kumpulan tertentu yang menjadikan tanah kerajaan serta tanah milik swasta untuk memudahkan kerja mereka membuang sampah.

“Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan negeri memerlukan satu enakmen berkaitan sisa pepejal yang merangkumi semua sektor perniagaan dalam Selangor.

“Enakmen ini penting supaya kita dapat mengawal aktiviti pembuangan sampah khususnya sisa pepejal dan sampah lain.

“Bagaimanapun, enakmen yang kita cadangkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan baru-baru ini telah ditolak, tetapi kita sedang mencari penyelasaian yang lebih baik untuk atasi masalah ini,” katanya.

Menjawab soalan ADUN Batang Kali, Harumaini Omar (Bersatu), Tze Han mengakui kerajaan negeri tidak mempunyai penguatkuasa yang mencukupi untuk menjalankan kerja memantau permasalahan itu.

Kata beliau, penguat kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut terlibat memantau Pendatang Tanpa Izin (PBT) dan tugasan berkaitan.

Justeru, beliau meminta semua wakil rakyat membantu PBT dengan menyalurkan maklumat supaya tindakan penguatkuasaan dapat dilakukan lebih berkesan. – MalaysiaGazette