Hospital Metamorphosis Azalea dijangka beroperasi pada hujung tahun ini.

KUALA LUMPUR – Metamorphosis Skills Sdn. Bhd. (Metamorphosis Skills) terus melebarkan cabang perniagaan apabila menerokai bidang perubatan membuka Hospital  Metamorphosis Azalea pada hujung tahun ini.

Presidennya, Razalif Mohd. Zain berkata, hospital swasta pertama yang terletak di Putrajaya itu akan menyediakan kepakaran dalam bidang pakar sakit puan dan perbidanan (Obstetrik dan Ginekologi), pakar sakit tuan (Andrologist & Urology) dan juga pakar kanak-kanak (Pediatrik).

Jelas beliau, pihaknya ketika ini menunggu lawatan akhir daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tertangguh sejak Mac lalu gara-gara penular wabak Covid-19.

“Sepatutnya bulan Mac lalu namun kakitangan KKM tidak dapat turun untuk memberi kelulusan beroperasi.

“Jadi kita merancang dapat melancar dan beroperasi seawal Oktober atau pun selewat-lewatnya pada awal tahun depan.

“Kos pembinaan hospital ini sekitar RM15 juta kerana kami akan beroperasi daripada bangunan yang telah siap dibina,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.

Hospital Metamorphosis Azalea akan memiliki 20 katil apabila beroperasi nanti.

Beliau melakukan persiapan terakhir bagi meninjau pembinaan hosptal itu baru-baru ini dengan diiringi Naib Presidennya, Mohd. Razimi Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif Metamorphosis Medical Product, Azmy A Hamid, Founder, Pengasa & O&G Registrar Dr Nur Azimah Che Embi dan Pengarah Hospital, Nazrin Awang Had.

Razalif menambah, sebaik beroperasi, Hospital  Metamorphosis Azalea itu akan memiliki 20 bilik dengan kapasiti sebanyak 20 katil.

Jelas beliau, hospital itu berkonsepkan resort kerana berlatar belakang tasik bagi bilik-bilik yang terpilih.

“Kami akan menyediakan dua pakej rawatan iaitu harga mampu milik bagi semua golongan masyarakat dan harga premium bagi bilik jenis suite.

“Kami menyasarkan semua lapisan masyarakat apatah lagi Putrajaya adalah kawasan kakitangan kerajaan yang kebanyakan berkemampuan,” katanya.

Sementara itu, Metamorphosis Skills sebelum ini muncul sebagai syarikat milik Bumiputera pertama yang terlibat dalam perniagaan pembuatan sarung tangan getah asli dan kondom dengan pengambilalihan kilang milik SSN Medical Products Sdn. Bhd. di Balakong, Selangor.

Kilang tersebut telah dijenamakan semula menjadi Metamorphosis Medical Products (MMP) dengan jenama rangkaian produk dikenali sebagai Meta.

Pada masa ini, syarikat itu terlibat dalam pelbagai aktiviti perniagaan iaitu menjalankan syarikat produksi, pengurusan acara dan perniagaan makanan sejuk beku. – MalaysiaGazette