Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Aminuddin Yahaya bercakap pada sidang media menolak kenyataan Ketua Polis Negara mengenai kes kematian Allahyarham Adib di Ibu Pejabat Pertubuhan Muafakat, Taman Melawati, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 15 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) kesal dengan kenyataan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, KPN sepatutnya mengarahkan agar siasatan diteruskan sebagaimana dikeluarkan Mahkamah Koroner tanpa mengeluarkan sebarang ulasan yang mengguris hati keluarga Muhammad Adib dan rakyat khususnya.

“Beliau mesti memohon maaf kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib kerana kenyataannya itu telah menyinggung perasaan mereka dan juga rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan kes itu.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Peguam Negara perlu mengambil sikap lebih serius untuk menyelesaikan kes ini demi keadilan yang melibatkan nyawa penjawat awam,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Abdul Hamid yang dilaporkan berkata, sehingga kini tiada saksi yang benar-benar nampak Allahyarham Muhammad Adib dipukul dan semua keterangan diperolehi bersifat hearsay dan pendapat.

Bagaimanapun, KPN itu mencadangkan kepada KDN untuk mewujudkan pasukan kajian semula bagi meneliti keterangan saksi berhubung kejadian itu.

Ini katanya, susulan keterangan saksi yang diambil selepas Mahkamah Koroner memutuskan punca kematian Allahyarham adalah akibat perbuatan jenayah.

Mengulas lanjut, Amiruddin berkata, KPN dan semua pihak yang terlibat perlu telus bagi menyelesaikan kes itu seadilnya bagi menjaga kewibawaan dan integriti pihak berkuasa.

Tegasnya, Pembela akan terus bersama rakyat dalam memantau rapat kes itu dan memberi sokongan padu kepada keluarga Allahyarham agar keadilan dapat ditegakkan.

Ditanya berhubung kenyataan KPN, telah memanggil semula saksi, Amiruddin menjelaskan, sekiranya benar dakwaan itu, kenapa bapa Allahyarham Muhammad Adib, iaitu Mohd Kassim dan beberapa saksi lain tidak dipanggil.

Beliau berkata, Pembela mengikuti setiap perincian kes kematian anggota Bomba dan Penyelamat itu sejak dari awal berlakunya kejadian pada 21 November 2018 sehingga keputusan inkues dikeluarkan 27 September 2019.

“Keputusan inkues menyatakan Allahyarham Muhammad Adib meninggal dunia di hospital akibat kecederaan parah dipukul oleh sekumpulan perusuh di tempat kejadian.

“Bagaimanapun, kami agak terkejut dan kesal apabila KPN pada 10 Julai lalu membuat kenyataan kontroversi mengenai perkembangan kes yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab oleh pelbagai pihak termasuk keluar Allahyarham melalui barisan peguam mereka.

“Semua tahu keputusan Mahkamah Koroner yang dibuat secara terperinci itu menyatakan, Muhammad Adib ditarik dan diserang, dia telah pun berada dalam keadaan separa sedar akibat kecederaan dalaman, iaitu hentakan kuat yang mematahkan tulang rusuknya,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tiada saksi yang benar-benar nampak Adib dipukul – KPN